HIKAYAT KOTA GELANGGI


Kota Gelanggi terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Jerantut. Tempat ini berupa kompleks beberapa buah gua yang mempunyai kesan tamadun prasejarah hingga ke Zaman Neolitik (Zaman Batu Akhir). Setiap gua disebut 'kota' kerana bentuknya, dengan pintu dan terowong, bagaikan bentuk sebuah kota. Antara kota-kota tersebut ialah Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Bukit, Kota Rehut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Lena.

Kajian arkeologi keatas kesan peninggalan sejarah itu telah dijalankan oleh pakar-pakar dari Muzium Negara. Pada bulan Disember 1980 mereka membuat kajian di Kota Tongkat dan mendapati banyak artifak yang telah tertimbus oleh tahi kelawar.

Penduduk tempatan sering mengaitkan Kota Gelanggi dengan orang bunian dan Sang Kelembai. Ada juga yang percaya bahawa kawasan Kota Gelanggi itu dahulu tapak sebuah kerajaan besar. Kerajaan itu bertukar menjadi batu akibat ditegur oleh Sang Kelembai. Kini terdapat banyak batu yang berbentuk manusia dan binatang disitu.

Ada batu yang berbentuk pengantin sedang bersanding dan ada pula yang berbentuk ular, penyu, harimau dan gajah. Ada gua yang berbentuk bilik kolam mandi dan ada yang cahaya didalamnya berkilauan seperti kilauan intan.

Beberapa andaian telah dibuat oleh ahli sejarah mengenai Kota Gelanggi. W Cameron misalnya mengatakan, pergunungan Kota Gelanggi merupakan satu peninggalan sejarah yang penduduk dan perabutnya telah bertukar menjadi batu. Budayawan Datuk Zakaria Hitam dalam beberapa penulisannya mengenai sejarah Pahang, berpendapat Kota Gelanggi dahulu mungkin sebuah pulau dilautan kerana terdapat cangkerang siput laut disitu.

Tun Seri Lanang penulis Sejarah Melayu pula menyebut bahawa Kota Gelanggi dipercayai negeri yang wujud sebelum Temasik (Singapura) dan Melaka. Beliau menyebut tentang negeri yang bernama Ganggayu - sebutan Melayu untuk perkataan Siam Klang Kio, negeri yang pernah dikalahkan oleh angkatan Raja Suran. Ganggayu dikatakan sebuah negeri besar yang berkota batu hitam.


Sejarah Melayu menggambarkan pertembungan antara angkatan Raja Suran dengan angkatan Raja Chulan Ganggayu itu sebagai peperangan antara rakyat 'Keling' dengan rakyat Siam. Rakyat Keling adalah tentera Raja Suran manakala rakyat Siam tentera Raja Chulan.

Ahli sejarah berpendapat bahawa Ganggayu dalam Sejarah Melayu itu adalah Gelanggi yang kini dikenali sebagai Kota Gelanggi. Menurut mereka, perubahan nama itu mungkin berlaku dalam pengalihan bahasa daripada tulisan jawi karya Tun Seri Lanang kepada tulisan rumi. 'Ga' yang bertitik telah bertukar menjadi 'kaf'. Jadi perkataan Gelang-gio atau Gelanggi telah bertukar menjadi Klang-Kio.

Lagenda Kota Gelanggi juga memuatkan kisah peperangan kerana perebutan seorang puteri cantik. Peperangan itu berlaku antara Raja Mambang dengan Raja Usul. Menurut ceritanya, anak Raja Mambang dari Lipis telah jatuh cinta dengan Puteri Gelanggi dan kemudian melamarnya. Lamarannya itu diterima dengan senang hati oleh Raja Gelanggi. Malangnya Puteri yang jelita itu tidak berminat dengan anak Raja Mambang.

Selang beberapa hari, anak Raja Usul yang memerintah Bera pergi berburu dikawasan berhampiran dengan Kota Gelanggi. Secara kebetulan anak Raja Usul itu bertemu dengan Puteri Raja Gelanggi dan terus tertawan padanya. Mereka jatuh cinta dan bersetuju untuk berkahwin. Anak Raja Mambang sangat marah apabila mengetahui perkara itu. Maka terjadilah pergaduhan antara mereka.

Setelah beberapa hari berperang, anak Raja Mambang berjaya dibunuh oleh anak Raja Usul. Dengan itu anak Raja Usul dapat mengahwini anak Raja Gelanggi.

Kota Gelanggi kini menjadi tumpuan penduduk kampung mencari tahi kelawar yang dijadikan baja dan dijual. Selain itu, Kota Gelanggi sering dikunjungi pelancong yang ingin melihat keindahan alam semulajadinya. Para pelancong yang melawat Kota Gelanggi dinasihatkan membawa pemandu pelancong yang arif tentang selok belok gua tersebut. Mereka juga dinasihatkan membawa lampu gas kerana keadaan didalam gua itu amat gelap. Keunikan dan keindahan didalam gua-gua itu memang tidak dapat dibandingkan dengan keadaan diluarnya.  

P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...

Source: SALASILAH NAMA TEMPAT NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR / MOHD.ROSELAN AB. MALEK / CETAKAN PERTAMA 1993
HIKAYAT KOTA GELANGGI HIKAYAT KOTA GELANGGI Reviewed by ILOVEPAHANG on September 08, 2011 Rating: 5
Powered by Blogger.