DARJAH KEBESARAN & PINGAT-PINGAT

DARJAH KERABAT YANG MAHA UTAMA DIRAJA PAHANG (D.K.P.)



Darjah Kerabat Diraja ini mempunyai satu peringkat sahaja. Keahlian Darjah Kerabat Diraja ini hendaklah terhad kepada Raja Pemerintah sahaja.
Kalung
Kalung Darjah Kerabat Diraja hendaklah mengandungi enam belas keping emas yang dicantum dengan rantai- rantai emas. Keping-keping emas ini disusun berempat-empat mengandungi cogan Negeri dan lain-lain lambang Negeri.
Bintang
Bintang Darjah Kerabat Diraja ini hendaklah berupa bintang emas berbucu lima yang diselangi dengan lima pasang bulan dan bintang dan bertatahkan kerongsang mengandungi lambang peribadi Baginda.
Lencana
Lencana Darjah Kerabat Diraja ini hendaklah berupa bintang emas berbucu lima yang digantung pada suatu motif daun emas dan salutan berwarna hijau. Di tengah-tengahnya terdapat satu ukiran wajah Raja Memerintah.
Riband
Riband Darjah Kerabat Diraja hendaklah selepang panjang sutera selebar 9cm, berwarna kuning dengan tiga jalur kuning muda di tengah- tengah bertepikan jalur-jalur biru.
Cogankata
Cogankata Darjah Kerabat Diraja ini ialah "Dilindungi Allah"
Gelaran Pemakaian
Tiada



DARJAH KERABAT SRI INDERA MAHKOTA PAHANG 
YANG AMAT DIHORMATI 
(D.K.) (i)


Keahlian Darjah Kerabat akan dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atau pengganti Sultan.
Gelaran Pemakaian
Tiada


DARJAH KERABAT SRI INDERA MAHKOTA PAHANG 
YANG AMAT DIHORMATI 
(D.K.) (ii)


Keahlian Darjah Kerabat akan dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atau pengganti Sultan.
Gelaran Pemakaian
Tiada


DARJAH KEBESARAN SULTAN AHMAD SHAH PAHANG YANG AMAT DI MULIA


DARJAH KEBESARAN SULTAN AHMAD SHAH PAHANG
YANG AMAT DI MULIA
Keahlian Darjah Kebesaran ini akan dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Pengganti Sultan.
Darjah ini mempunyai empat peringkat iaitu:
• i. Peringkat Pertama - Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.)
• ii. Peringkat Kedua - Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P.)
• iii. Peringkat Ketiga - Setia Ahmad Shah Pahang (S.A.P.)
• iv. Peringkat Keempat - Ahli Ahmad Shah Pahang (A.A.P.)
Kekananan
Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia ini adalah terkanan kepada Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia.
Kelayakan
• i. Orang Lelaki atau Perempuan boleh diterima menjadi ahli mana- mana Peringkat Darjah Kebesaran ini, yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada negeri.
• ii. Orang-orang daripada luar negeri yang fikirkan layak oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, patut dianugerahkan kehormatan menjadi ahli Darjah Kebesaran ini akan diberi gelaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang Kehormat atau Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang Kehormat atau Setia Ahmad Shah Pahang Kehormat atau Ahli Ahmad Shah Pahang Kehormat mengikut penganugerahannya.
Penggunaan Huruf- huruf Ringkas
Sesiapa yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Yang Amat Di Mulia boleh meletakaan huruf-huruf S.S.A.P., D.S.A.P., S.A.P., A.A.P., di hujung namanya mengikut penganugerahannya pada tiap- tiap masa.
Mohor
Cap Mohor Darjah Kebesaran ini hendaklah bercorak seperti Lencana Sri Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia , Peringkat Pertama - Sri Sultan Ahmad Shah Pahang .
Pendaftar
Pendaftar Darjah Kebesaran hendaklah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Pengganti Sultan dan hendaklah merakamkan semua perjalanan mengenai Darjah Kebesaran ini di dalam satu daftar yang diuntukkan bagi maksud tersebut.
Pembatalan Darjah Kebesaran
Jika berlaku perlucutan atau pembatalan mana- mana ahli Darjah Kebesaran ini, maka ahli hendaklah mengembalikan tanda-tanda kemuliaan untuk perkhidmatan bagi Darjah Kebesaran ini kepada Pendaftar.
Pengembalian Tanda Kemuliaan akibat Meninggal Dunia
Jika berlaku kematian mana- mana ahli biasa Darjah Kebesaran ini serta segala tanda- tanda kemuliaan dari Negeri ini yang dipakainya hendaklah dikembalikan kepada Pendaftar oleh waris atau wakil dari ahli tersebut, melainkan mereka telah menerima sepucuk surat daripada Menteri menyatakan adalah dengan limpah kurnia Raja Pemerintah membenarkan penyimpanan tanda-tanda kemulian tersebut oleh waris ahli yang meninggal sebagai tanda penganugerahan dan penghargaan Diraja.
Tanda Kemuliaan Ahli Kehormat yang Meninggal Dunia
Tanda kemuliaan Ahli Kehormat yang meninggal dunia tidak perlu dikembalikan tetapi, warisnya dikehendaki menghantar sepucuk surat menyatakan perkara kematian ahli tersebut kepada Pendaftar.


PERINGKAT PERTAMA 
SRI SULTAN AHMAD SHAH PAHANG (S.S.A.P.)


Kalung
Kalung Darjah Kebesaran ini hendaklah mengandungi empat keping emas besar, dua belas keping emas kecil dan dicantumkan dengan rantai emas. Di muka bagi tiap- tiap kepingan emas ini terletak sama ada ukiran Lambang Kebesaran Negeri Pahang, keris berwarna hitam putih, perkataan "Dilindungi Allah" dalam tulisan Jawi, daun kopi dan bintang berbucu dua belas.
Bintang
Bintang Darjah Kebesaran ini berupa bintang yang diperbuat daripada emas 18 karat dan enamel berwarna putih. Bintang Darjah Kebesaran ini berupa bintang yang berbucu lima dan mempunyai lima pasang bulan bintang. Di tengah-tengah Bintang ini terletak Lambang Kebesaran Negeri Pahang.
Lencana
Lencana hendaklah berupa ukiran bintang lima bucu diperbuat daripada emas dan dimukanya terletak ukiran, diperbuat daripada emas, wajah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah
Riband
Riband atau Selepang Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang panjang sutera selebar 3½ inci berwarna hijau bertepikan jaluran kuning dengan tiga jaluran kuning di tengah-tengahnya.
Masa Memakai
• i. Kalung dan Lencana hanya boleh dipakai pada hari-hari istimewa yang dipanggil Hari Kalung
• ii. Riband atau Selepang adalah dipakai pada hari-hari atau waktu-waktu selain dari itu di mana-mana Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Penghormatan dikehendaki dipakai apabila diperintahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.
• iii. Bintang hendaklah dipakai setiap kali memakai Kalung atau Riband.
Gelaran Pemakaian
Ahli-ahli lelaki dan perempuan yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Pahang boleh menggunakan gelaran "Dato' Sri" sebelum nama mereka pada setiap masa. Isteri kepada ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran ini boleh menggunkan gelaran "Datin Sri" sebelum nama mereka pada setiap masa.



PERINGKAT KEDUA
DARJAH SULTAN AHMAD SHAH PAHANG (D.S.A.P.)


Bintang
Bintang Darjah Kebesaran ini hendaklah serupa dengan Bintang Darjah Kebesaran Peringkat Pertama, tetapi enamelnya berwarna biru muda.
Lencana
Serupa dengan Lencana Darjah Kebesaran Peringkat Pertama.
Riband
Riband atau Selepang Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang panjang selebar 3½ inci yang berwarna hijau dan berjalurkan warna kuning di tepinya. Di tengah-tengahnya pula terdapat jalur kuning diapit dengan jaluran putih dan hitam.
Gelaran Pemakaian
Ahli- ahli lelaki dan perempuan yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Peringkat Kedua bolehlah menggunakan gelaran "Dato'" sebelum nama mereka pada setiap masa. Isteri kepada ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran ini boleh menggunkan gelaran "Datin" sebelum nama mereka pada setiap masa.


PERINGKAT KETIGA
SETIA AHMAD SHAH PAHANG (S.A.P.)




Darjah Kebesaran Peringkat Ketiga ini adalah dicadangkan bagi kurniaan terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya.  Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Gred N54 ke atas atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya dengan nasihat Menteri Besar Pahang.

Lencana
Lencana Darjah Kebesaran ini berupa Bintang berbucu lima yang diperbuat daripada emas dan enamel yang berwarna biru muda dan biru tua dan mengandungi Lambang Kebesaran Kerajaan Negeri. Di antara bucu- bucu kepada Bintang ini terletak ukiran lima pasang bulan sabit.
Riband
Riband untuk ahli- ahli lelaki pada Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang tangkuk sutera selebar 2 ½ inci yang berwarna putih dan berjalurkan warna hitam di tepi dan di tengah dengan jaluran biru mengapiti jaluran tengah. Manakala bagi ahli perempuan, riband hendaklah berbentuk pita (bow riband) yang diperbuat dari kain sutera juga dan lebar serta warnanya serupa dengan riband ahli lelaki.
Gelaran Pemakaian
Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.


PERINGKAT KEEMPAT
AHLI AHMAD SHAH PAHANG (A.A.P.)




Darjah Kebesaran Peringkat Keempat ini bolehlah dipertimbangkan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan, Polis atau Angkatan Bersenjata Gred N48 ke atas atau kepada sesiapa sahaja yang setaraf dengannya yang difikirkan layak menerima.  Pengurniaan ini adalah bagi orang yang berjasa dan melaksanakan tugas-tugas dengan cemerlang ataupun yang memberikan sumbangan dalam Badan-Badan Sukarela ataupun lain-lain kegiatan. 
Lencana
Lencana Darjah Kebesaran ini berukuran 1.9 inci, hendaklah serupa dengan Lencana Darjah Kebesaran Peringkat Ketiga.
Gelaran Pemakaian
Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli- ahli yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini.
Gelaran Pemakai : Tiada



DARJAH KEBESARAN MAHKOTA PAHANG YANG AMAT MULIA



DARJAH KEBESARAN MAHKOTA PAHANG YANG AMAT MULIA
Darjah ini hendaklah mempunyai empat peringkat iaitu:
• i. Peringkat Pertama - Sri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.)
• ii. Peringkat Kedua - Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.)
• iii. Peringkat Ketiga - Setia Mahkota Pahang (S.M.P.)
• iv. Peringkat Keempat - Ahli Mahkota Pahang (A.M.P.)
Kelayakan
Orang- orang yang boleh memasuki mana-mana Peringkat Darjah Kebesaran ini hendaklah daripada lelaki atau perempuan yang telah memberi atau yang memberi perkhidmatan terpuji kepada negeri.
Ahli-ahli Kehormat
Orang-orang dari luar negeri yang difikirkan patut oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk dianugerahkan kehormatan untuk dipilih memasuki Darjah Kebesaran ini akan diberi gelaran Sri Indera Mahkota Pahang Kehormat atau Darjah Indera Mahkota Pahang Kehormat atau Setia Mahkota Pahang Kehormat atau Ahli Mahkota Pahang Kehormat mengikut penganugerahannya.
Penggunaan Huruf- huruf Ringkas
Barang siapa yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Yang Amat Mulia ini boleh menggunakan huruf- huruf S.I.M.P., D.I.M.P., S.M.P., A.M.P., selepas nama mereka pada tiap- tiap masa.
Cop Mohor
Cop Mohor Darjah Kebesaran ini hendaklah bercorak seperti Lencana Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Mulia.


PERINGKAT PERTAMA
SRI INDERA MAHKOTA PAHANG (S.I.M.P.) 




Kalung
Kalung Darjah Kebesran ini hendaklah mengandungi enam belas keping emas dicantum dengan rantai emas disusun berempat- empat dan bercorak dengan cogan Negeri dan lain-lain lambang Negeri serta kesemuanya diletak di atas dataran warna kuning.
Bintang
Bintang Darjah Kebesaran ini adalah berupa bintang dada berpancaran cahaya buatan perak berpin di belakang dan mengandungi cahaya biru tua dan muda berselang- selang, ditatah pula dengan bintang emas berlereng berbucu lima, di tengah dan di tepi bucu-bucu bintang mengandungi potongan cahaya intan bersegi. Di tengah- tengah merupakan gambaran Cogan Negeri yang diletak di atas tapak berwarna kuning.
Lencana
Lencana pada kalung/ Kain Selepang Darjah kebesaran ini hendaklah sama besar dan serupa bentuk dan corak bintang emas yang ditatah pada bintang dada.
Riband
Riband Darjah Kebesaran hendaklah selepang panjang sutera selebar 3½ inci berwarna kuning dan bertepikan biru.
Gelaran Pemakaian
Ahli- ahli lelaki atau perempuan yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran ini bolehlah menggunakan gelaran Dato' sebelum nama masing- masing pada tiap- tiap masa manakala isteri mereka boleh menggunakan gelaran Datin sebelum nama mereka pada setiap masa.



PERINGKAT KEDUA
DARJAH INDERA MAHKOTA PAHANG (D.I.M.P.)




Bintang
Bintang Darjah Kebesaran ini hendaklah sama dengan Bintang Darjah Peringkat Pertama
Lencana
Lencana Darjah Kebesaran ini hendaklah daripada perak mengandungi bintang berpancaran cahaya berselang- selang warna perak dan hitam bertath bintang emas berlereng berbucu lima, tepinya berpotongan intan.
Di tengah- tengah merupakan lambang- lambang Negeri di atas tapak berwarna kuning.
Riband
Riband atau Selepang Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang panjang sutera berwarna hitam dan putih masing- masing berukuran 1 ½ inci dan bertepikan warna kuning berukuran ½ inci
Gelaran Pemakaian
Ahli- ahli lelaki atau perempuan yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran ini bolehlah menggunakan gelaran Dato' sebelum nama masing-masing pada tiap- tiap masa manakala isteri mereka boleh menggunakan gelaran Datin sebelum nama mereka pada setiap masa.



PERINGKAT KETIGA
SERI MAHKOTA PAHANG (S.M.P.)




Lencana
Lencana Darjah Kebesaran ini hendaklah sama dengan Lencana bagi Darjah Kebesaran Peringkat Kedua
Riband
Riband Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang tangkuk sutera berwarna hitam dan putih selebar 1 ¾ inci.
Gelaran Pemakaian
Tiada



PERINGKAT KEEMPAT
AHLI MAHKOTA PAHANG (A.M.P.)




Darjah Kebesaran Peringkat Keempat ini diwujudkan supaya pengurniaannya secocok dengan taraf dan kedudukan penerima.  Kedudukan Bintang ini adalah di antara Bintang A.A.P dan Pingat P.K.C.  Pada Kebiasaannya Bintang A.M.P. dikurniakan kepada Pegawai Kerjaan Gred N41 sama ada dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dengan nasihat Menteri Besar Pahang.
Lencana
Lencana Darjah Kebesaran ini berukuran 2 inci hendaklah serupa dengan Lencana bagi Darjah Kebesaran Peringkat Ketiga.
Gelaran Pemakaian
Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebersaran ini.



PINGAT KHIDMAT CEMERLANG (P.K.C.)



Pingat ini boleh dipertimbangkan bagi Pegawai-Pegawai Kerajaan Gred N27 ke atas atau yang setaraf dengannya sama ada dalam Perkhidmatan Awam, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan dan Anggota Pasukan Keselamatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerima.  Pengurniaan ini adalah bagi orang yang berjasa dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan bermutu tinggi.
Gelaran Pemakaian
Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebersaran ini.



PINGAT GAGAH PERWIRA (P.G.P.)



Pingat ini bolehlah dianugerahkan kepada sesiapa yang melaksanakan sesuatu perbuatan yang paling gagah dan berani walaupun di dalam keadaan yang amat membahayakan serta mencemaskan dirinya sendiri
Pingat ini hendaklah diperbuat daripada perak dan berbentuk bulat. Di muka hadapannya berukiran sebuah kepala harimau dan sepasang gading, bertuliskan nama pingat dalam huruf Jawi di atas perkataan Pahang yang bertuliskan huruf Jawi manakala di muka belakangnya terukir lingkungan 16 helai daun kopi serta nama pingat ini dalam huruf Jawi, dan di tengah- tengahnya nama penerima dan tahun penganugerahan.
Apabila suatu perbuatan yang wajar dianugerahkan pingat ini dilakukan oleh seseorang yang telah dianugerahkan pingat yang sama, pengiktirafan yang sama hendaklah diberi dengan penganugerahan kepingan kerongsang perak yang sama bentuknya dengan kepingan kerongsang perak di mana digantungkan pingat ini dan hendaklah disematkan kepada pita yang menggantungkan pingat itu. Penganugerahan kepingan kerongsang perak ini tidak terhad jumlahnya walaupun kepada orang yang telah ada menerima pingat ini. Bagi tiap- tiap kepingan yang dianugerahkan, sebuah bintang perak yang kecil bolehlah disematkan kepada pita apabila dipakainya sahaja.
Gelaran Pemakaian
Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebersaran ini.





PINGAT KELAKUAN TERPUJI(P.K.T.)



Pingat ini bolehlah dianugerahkan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan dalam Gred N22 atau kepada sesiapa sahaja yang terbukti telah melaksanakan perbuatan atau perbuatan-perbuatan yang mempunyai sifat kelakuan terpuji dan berani walaupun di dalam keadaan yang membahayakan dirinya sendiri.
Apabila suatu perbuatan yang wajar dianugerahkan pingat ini dilakukan oleh seseorang yang telah dianugerahkan pingat yang sama, pengiktirafan yang sama hendaklah diberi dengan penganugerahan kepingan kerongsang gangsa yang sama bentuknya dengan kepingan kerongsang gangsa di mana digantungkan pingat ini dan hendaklah disematkan kepada pita yang menggantungkan pingat itu. Penganugerahan kepingan kerongsang perak ini tidak terhad jumlahnya walaupun kepada orang yang telah ada menerima pingat ini. Bagi tiap- tiap kepingan yang dianugerahkan, sebuah bintang gangsa yang kecil bolehlah disematkan kepada pita apabila dipakainya sahaja.
Gelaran Pemakaian
Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebersaran ini.





PINGAT JASA KEBAKTIAN (P.J.K.)



Pingat ini bolehlah dianugerahkan kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan dalam Gred N17 atau kepada sesiapa yang melaksanakan sesuatu perkhidmatan yang terpuji di Negeri Pahang Darul Makmur ini selain daripada perbuatan keberanian dan perkhidmatan ini ditunjukkan oleh kecerdasan dan kesetiaan kepada tugas termasuk kepada perkhidmatan yang lama dan dipenuhi dengan kebolehan yang istimewa, kepujian dan kelakuan yang terpuji. 
Gelaran Pemakaian
Tiada gelaran dipakaikan sebelum nama ahli-ahli yang dianugerahkan Darjah Kebersaran ini.


DARJAH KEBESARAN & PINGAT-PINGAT DARJAH KEBESARAN & PINGAT-PINGAT Reviewed by ILOVEPAHANG on January 18, 2012 Rating: 5
Powered by Blogger.