KDYMM TENGKU AMPUAN PAHANG



KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TENGKU AMPUAN PAHANG
AL-MARHUMAH TENGKU HAJJAH AFZAN RAHIMALLAH BINTI AL-MARHUM TENGKU PANGLIMA PERANG TENGKU MUHAMMAD DK., SSAP., SIMP., DMN.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Al-Marhumah Tengku Hajjah Afzan Rahimahallah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad diputerakan pada 4 Disember 1933 di Kuala Terengganu. Ayahanda Baginda ialah Tengku Panglima Perang, Tengku Muhammad Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah yang ketika itu memegang jawatan Penolong Penguasa Polis di Terengganu dan bonda Baginda Tengku Hajjah Mandak Aishah binti Tengku Mustapha.

Sejak dari kecil lagi Al-Marhumah telah dididik dan diasuh oleh ayahanda dan bonda dengan penuh adab sopan serta tingkah laku yang mulia seperti puteri Raja-Raja Melayu yang lain yang mempunyai adat resam turun temurun. Sesungguhnya didikan yang diberikan kepada Al-Marhumah merangkumi pendidikan Melayu, Inggeris dan tidak ketinggalan ilmu Agama.

Pada tanggal 22 April 1954, Al-Marhumah yang ketika itu berusia 21 tahun telah melangsungkan perkahwinan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah di Istana Hinggap Kuala Lipis Pahang. Ketika itu ayahanda Al-Marhumah merupakan Menteri Besar Pahang. Perkahwinan Al-Marhumah telah dikurniakan dua orang putera dan lima orang puteri.

Al-Marhumah Tengku Ampuan Afzan merupakan seorang ibu yang sangat penyayang dan prihatin dalam mendidik putera dan puteri Baginda. Baginda mencurahkan sepenuh kasih sayang dan kemesraan di samping sentiasa tegas dan berdiplomasi dalam membentuk disiplin putera puteri Baginda. Pelajaran agama juga tidak diabaikan sebagai bekalan putera-puteri Baginda dalam mengharungi cabaran kehidupan dunia.

Semasa sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah yang ke-68 pada 29 Mei 1972, Al-Marhumah telah dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP.), di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan.

Al-Marhumah telah dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang pada 7 Mei 1974 berikutan pengisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah yang dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Sebagai Tengku Ampuan Pahang, Al-Marhumah sentiasa mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah berangkat meninjau keadaan rakyat jelata di seluruh pelusuk negeri dan juga lawatan- lawatan rasmi ke luar negara.

Kesempatan tersebut digunakan oleh Al-Marhumah untuk bergaul mesra dengan segenap lapisan masyarakat. Semasa lawatan, Baginda sentiasa memberi nasihat yang berguna atau dorongan kepada kaum wanita, serta sentiasa menggalakkan kaum wanita supaya menceburkan diri dalam semua lapangan. Sesungguhnya ciri-ciri yang dimiliki oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda telah banyak membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dalam memerintah Negeri Pahang Darul Makmur dengan penuh adil dan saksama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia terkenal sebagai Tengku Ampuan yang manis, bersifat ramah, lemah lembut dan berhemah tinggi. Apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-VII pada 10 Julai 1980, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan pula telah diisytiharkan sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Seiring dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang juga telah membuktikan bahawa Baginda sangat mengambil berat tentang soal-soal kebajikan, kemasyarakatan dan tidak ketinggalan juga di dalam bidang sukan. Ini terbukti dengan penglibatan Baginda secara langsung di dalam gerakan sukarela dan kebajikan dan memimpin beberapa buah badan dari pertubuhan:

●  Penaung Persatuan Bola Jaring Malaysia
●  Yang Dipertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Tanah Melayu
●  Presiden Persatuan Badminton Tengku Ampuan Pahang
●  Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang
●  Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Wanita Negeri Pahang
●  Penaung Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia (Cawangan Pahang)
●  Presiden Kelab Golf Darul Makmur Diraja Pekan 


Al-Marhumah Baginda sangat berminat dengan gerakan kebajikan kaum wanita. Baginda sentiasa bergaul dengan ketua-ketua persatuan dan pertubuhan-pertubuhan wanita, badan-badan sukan, dan juga badan-badan amal bagi memberi perhatian terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh persatuan-persatuan atau pertubuhan itu, serta memberi pandangan dan bimbingan di mana yang perlu. Baginda juga seringkali berkenan mencemar duli berangkat merasmikan majlis pameran dan pertandingan di samping dapat beramah mesra dengan rakyat jelata.

Baginda juga meminati bidang sukan terutamanya badminton dan bola jaring. Selaku Presiden Persatuan Badminton Wanita Pahang, Pasukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sering mengadakan perlawanan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mempunyai dewan badminton sendiri di Jalan Teluk Cempedak bersebelahan Istana Mahkota, Kuantan. Pasukan Baginda juga merupakan sebuah pasukan yang kuat di kalangan Pasukan Diraja Negeri-negeri dan di kalangan VVIP di Malaysia.

Walaupun Baginda sentiasa sibuk dan banyak terlibat dalam kerja-kerja amal dan sukan, Baginda sangat menitikberatkan amalan ajaran agama. Hasil didikan yang gigih sejak kecil jelas terpancar di wajah Baginda yang sentiasa tenang dan tenteram serta mempunyai sifat penyabar dan penyayang. Pada hari-hari kebesaran Islam, Baginda sering mengelola majlis tahlil, majlis sambutan Maulidur Rasul, majlis ceramah agama dan sebagainya. Baginda juga sering mengundang guru-guru agama yang terkenal bagi menyampaikan ceramah dan bimbingan. Baginda telah berangkat menunaikan Fardhu Haji ke Mekah sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1971 dan 1975.

Di antara kegemaran Baginda ialah bersukan, memasak, jahit-menjahit, membaca majalah berkenaan wanita dan menanam pokok-pokok bunga. Al-Marhumah juga sentiasa memberi perhatian tentang urusan mengatur perhiasan istana agar istana kelihatan menarik. Baginda juga suka berkelah. Antara lokasi perkelahan yang menjadi kegemaran Baginda ialah di Air Leleh, di Tanjung Selangor, Pekan dan di Pulau Tioman.

Sesungguhnya Al-Marhumah telah dikurniakan dengan ketokohan tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawab selaku Tengku Ampuan Pahang dan ini bukanlah mudah untuk ditandingi. Baginda mencerminkan seorang Tengku Ampuan yang bertenaga, mudah bergaul, mengikuti perkembangan semasa sambil melimpahkan perangsang dan kemegahan termasuk semasa Al-Marhumah menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Pingat-Pingat yang diterima oleh Baginda:

●  Darjah Kerabat Diraja Pahang (DK) pada tahun 1975
●  Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP)
●  Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP) pada 29 Mei  1972
●  Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) pada 29 Mei 1979
●  Anugerah The Order of Tudor Vladi Mirescu ( Romania ) pada 25 November 1982 

Jika Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dikenali sebagai 'Raja Berjiwa Rakyat', Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan pula dikenali sebagai 'Permaisuri Berjiwa Rakyat '.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang mangkat di Istana Pahang, Kuala Lumpur pada 29 Jun 1988 hari Rabu jam 8.42 pagi pada usia 55 tahun.


KDYMM TENGKU AMPUAN PAHANG KDYMM TENGKU AMPUAN PAHANG Reviewed by ILOVEPAHANG on April 29, 2011 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.