FOKUS MITOS: KAPAL BESAR JADI GUA


Gua Charas

MENGIKUT cerita turun temurun penduduk di  Kampung Panching di Kuantan, kawasan daratannya dahulu sebenarnya adalah sebuah lautan yang luas terbentang.

Berdasarkan pengisahan dan cerita mitosnya, terdapat seorang pendeta yang berlayar bersama sebuah kapal yang besar bersama anak-anak kapal.

Pendeta tersebut merupakan seorang alim dan sentiasa menasihati anak-anak kapalnya supaya berkelakuan baik dan saling tolong-menolong bagi memudahkan pelayaran mereka mencari dataran untuk dijadikan petempatan.

Namun, tidak disangka salah seorang anak kapalnya telah membuat satu kesalahan besar dan menyebabkan pendeta tersebut terlalu marah dengan kelakuan yang dilakukan.

Bagi menebus kesalahan yang dilakukan anak kapal tersebut, pendeta telah berdoa agar diturunkan malapetaka sebagai balasan kesalahan yang dilakukan oleh anak kapal tersebut.

Sejurus selepas berdoa, tiba-tiba langit menjadi mendung lalu hujan lebat diikuti ribut petir sabung menyabung berlaku di kawasan tersebut. Maka anak-anak kapal berlari bertempiaran tanpa arah tuju, namun tiada siapa yang boleh menyelamatkan diri masing-masing.

Sejurus selepas hujan dan rebut petir tersebut, kapal yang dinaiki oleh mereka ini tiba-tiba bertukar menjadi batu dan seterusnya membentuk daratan di sekelilingnya.

Kapal yang bertukar menjadi batu tersebut kini masih lagi tersergam indah di kampung ini yang digelar dinamakan sebagai Gua Charas yang merupakan salah satu kawasan pelancongan di daerah ini.

Penduduk setempat tidak menolak kemungkinan bahawa gua tersebut terjadi daripada sebuah kapal kerana bentuknya yang seolah-olah sebuah kapal besar yang berlabuh di pinggir kampung.
Gua yang menyimpan 1001 misteri ini merupakan khazanah yang harus dipelihara
Tempat suci

Namun, kini Gua Charas merupakan tempat suci bagi penganut agama Buddha untuk berdoa dan bersembahyang kerana dipercayai segala keinginan orang yang datang ke sini akan dimakbulkan.

Bagi Penolong Setiausaha Kuil Sithambaram berkata, Gua Charas ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan pelancong dari datang dan luar negara tidak putus-putus datang ke sini untuk melihat keajaiban yang ada selain dapat berdoa.

“Setiap tahun pelancong dari luar negara seperti Thailand,China, Singapura dan lain-lain lagi akan bertandang ke sini untuk menyucikan diri dan berdoa mendapatkan apa yang dihajati.

“Walaupun terpaksa mendaki  beratus-ratus anak tangga untuk masuk ke dalam gua, itu tidak menjadi masalah kepada penganut agama Buddha kerana mereka tahu untuk memakbulkan doa seseorang itu, pengorbanan harus dilakukan dan sejurus selepas pulang, terpancar keceriaan dan kegembiraan pengunjung di sini kerana boleh sembahyang dan berdoa dalam gua suci ini,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, gua yang terbentuk sejak beratus-ratus tahun dahulu ini mempunyai kawasan yang menarik untuk dikunjungi.

“Setelah penat mendaki anak tangga untuk masuk ke dalam gua, kita akan disegarkan dengan suasana berangin seolah-olah dalam bilik berhawa dingin di pintu masuk gua ini.

“Sampai sekarang saya juga tidak tahu mengapa di pintu gua ini sahaja kami akan menikmati suasana yang nyaman ini, kerana apabila beralih ke tempat lain, tiada lagi rasa dingin yang damai.

“Apa pun, Gua Charas ini sememangnya mempunyai misteri tersendiri yang tidak diketahui oleh kita,” katanya.
Sumber Artikel Ini Diambil dari Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang Bertarikh 14 Oktober 2012
FOKUS MITOS: KAPAL BESAR JADI GUA FOKUS MITOS: KAPAL BESAR JADI GUA Reviewed by ILOVEPAHANG on October 15, 2012 Rating: 5
Powered by Blogger.