SULTAN PAHANG V (1974 - SEKARANG)

SULTAN V (1974 - SEKARANG)

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH IBNI AL-MARHUM SULTAN ABU BAKAR RI'AYATUDDIN AL-MU'ADZAM SHAH

KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930. Baginda merupakan anakanda ketiga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Al-Mu'tasim Billah dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Ampuan Fatimah bt Sultan Iskandar Shah (Tengku Ampuan Besar Pahang).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah dibawa pulang oleh Nenda Baginda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah ke Kuala Kangsar, Perak. Baginda telah diasuh dan dididik oleh Duli Yang Maha Mulia Nenda Baginda dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Apabila Baginda berusia dua belas tahun, barulah Baginda berangkat semula ke Negeri Pahang Darul Makmur.

PENDIDIKAN DAN PERSEKOLAHAN

Pada tahun 1936, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah telah menghantar Baginda belajar ke Sekolah Melayu di Kuala Kangsar, Perak. Setelah tamat pelajaran darjah empat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah melanjutkan pelajarannya ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan ketika itu Baginda baru berusia 10 tahun. Namun begitu, pelajaran Baginda telah terganggu semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu pada akhir tahun 1941. Pada tahun 1942, Baginda berangkat semula ke Pahang dan bersemayam bersama-sama Seri Paduka ayahandanya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Raja Hajjah Fatimah binti Al-Marhum Sultan Iskandar Shah.

Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah dihantar belajar asas-asas agama di Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar, Pekan. Pada tahun 1946, Baginda menyambung semula persekolahannya di Sekolah Clifford, Kuala Lipis. Di sana, Baginda tinggal di asrama bersama-sama dengan para pelajar yang lain dan Baginda sendiri tidak mahu dilayan seperti putera Raja, sebaliknya Baginda banyak bergaul dengan pelajar-pelajar dari kalangan rakyat biasa.

Pada tahun 1948, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah dihantar ke London dengan menaiki kapal laut yang bernama Audre Lebon dan pelayaran tersebut telah mengambil masa selama 25 hari. Baginda melanjutkan pelajaran di sekolah persendirian di Sussex dan kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worchester College, Oxford, England.

Setelah tamat pengajian di Oxford, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Exeter University College, Devon dalam bidang Kerajaan Tempatan dan menjalankan praktikal di Urban District Council Sidmouth, Devon pada tahun 1951 hingga 1953.

BERGELAR KEBAWAH DULI YANG TERAMAT MULIA TENGKU MAHKOTA PAHANG

Pada 25 Mei 1944, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah dimasyhurkan menjadi Tengku Mahkota Pahang oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah di Istana Seri Terentang, Pekan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, apabila pusat pemerintahan Kerajaan Negeri Pahang berpindah dari Kuala Lipis ke Kuantan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah supaya bersemayam di Kuala Lipis bagi melihat dan memerhatikan hal ehwal negeri di sebelah Pahang Barat. Pada Jun 1956, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah berangkat ke Eropah hingga akhir tahun 1956.

Sebagai Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah mengetuai dan mempengerusikan Majlis Mesyuarat Jumaah Pangkuan Negeri Pahang dan mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu serta upacara-upacara rasmi di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang tidak dapat berangkat hadir atau tiada di dalam negeri.

PERKAHWINAN DIRAJA

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah melangsungkan perkahwinan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan Rahimallah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad (cucuri rahmat ke atas roh Baginda) pada 22 April 1954, di Kuala Lipis. Pada ketika itu, ayahanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad, menjadi Menteri Besar Pahang dan pemerintahan Kerajaan Negeri Pahang masih lagi berpusat di Kuala Lipis.

Perkongsian hidup di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan telah dikurniakan dua orang putera dan lima orang puteri.

Putera dan Puteri Baginda berdua ialah:

●  Yang Amat Mulia Tengku Tan Sri Hajjah Meriam Binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP., PSM., JP. (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang).
●  Yang Amat Mulia Tengku Dato' Hajjah Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP. (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang).
●  Yang Amat Mulia Tengku Dato' Hajjah Aishah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP. (Yang Amat Mulia Tengku Seri Kemala Pahang).
●  Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SSAP., SIMP., DK(Terengganu)., DK( Johor )., SPMJ. (Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang)
●  Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta'in Billah, DK.,SSAP. (Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang)
●  Yang Amat Mulia Tengku Dato' Hajjah Nong Fatimah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP. (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang)
●  Yang Amat Mulia Tengku Dato' Hajjah Shahariah binti Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SIMP. (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang)

PERLANTIKAN DAN PERTABALAN SEBAGAI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG

Pada 7 Mei 1974, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah menaiki takhta menjadi Raja Pemerintah yang ke-5 bagi Negeri Pahang setelah kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah yang mangkat pada 5 Mei 1974. Setelah genap setahun di atas singgahsana tahkta Kerajaan Pahang, satu upacara Istiadat Pertabalan Diraja yang penuh kebesaran telah diadakan di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada 8 Mei 1975. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah ditabalkan dengan gelaran KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH IBNI AL-MARHUM SULTAN ABU BAKAR RI'AYATUDDIN AL-MU'ADZAM SHAH.

Istiadat memahkotakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah iaitu ayahanda saudara Baginda. Istiadat pertabalan tersebut telah dijalankan dengan penuh istiadat tradisi. Bandar Diraja Pekan dihiasi indah bagi memuliakan istiadat yang bersejarah dan penuh makna itu. Upacara pertabalan tersebut telah dijalankan dengan penuh istiadat tradisi dan penuh berwarna-warni.

PERLANTIKAN SEBAGAI YANG DIPERTUAN AGUNG KE-VII

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Yang Di-Pertuan Agong yang ke-VII menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong yang ke-VI, Sultan Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim, Kelantan yang mangkat pada 25 April 1979.

Sebelum bersemayam selaku Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu untuk memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975 .

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-VII pada 25 April 1985.


KEMANGKATAN AL-MARHUMAH TENGKU HAJJAH AFZAN RAHIMALLAH BINTI AL-MARHUM TENGKU PANGLIMA PERANG TENGKU MUHAMMAD

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah merasa amat dukacita di atas kemangkatan permaisuri yang dicintai dan dikasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan Rahimallah binti Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad (Ya Allah, cucurilah Rahmat ke atas Roh Baginda) pada 29 Jun 1988.

Takdir Illahi ini berlaku hanya 6 hari selepas kemangkatan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Ini sudah tentunya meninggalkan kesan yang amat tragis di dalam sejarah hidup Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Seluruh rakyat Negeri Pahang berkabung selama empat puluh hari di atas kemangkatan ini.

Namun begitu, peristiwa yang menyedihkan keluarga Diraja ini sama sekali tidak menghalang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah melaksanakan tugas-tugas Baginda sebagai Sultan Pahang yang berjiwa rakyat.
SULTAN PAHANG V (1974 - SEKARANG) SULTAN PAHANG V (1974 - SEKARANG) Reviewed by ILOVEPAHANG on April 29, 2011 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.