HIKAYAT NAMA KERATONG


Bandar Tun Abdul Razak (tidak boleh dikelirukan dengan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur) ialah sebuah pekan yang terletak di barat Rompin, Pahang. Bandar Tun Abdul Razak telah dibuka pada 1979 dan pada awalnya, bandar ini dikenali sebagai Bandar 22.

Bandar Tun Abdul Razak dikelilingi kawasan FELDA. Pada permulaannya, terdapat 2500 keluarga tinggal di kawasan FELDA, kebanyakannya kaum Melayu dan terdapat sejumlah kecil bagi kaum India, Cina, dan Orang Asli. Terdapat sebelas kawasan FELDA di Bandar Tun Abdul Razak yang melibatkan, Felda Keratong 1, Felda Keratong 2, Felda Keratong 3, Felda Keratong 4 dan Felda Keratong 5.

Juga Felda Keratong 6, Keratong 7, Keratong 8, Keratong 9, Keratong 10dan Keratong 11.

Di samping itu, terdapat juga perkampungan tradisional dan peerkampungan Orang Asli yang terletak berhampiran Bandar Tun Abdul Razak seperti Kg Rekoh dan Bukit Serok; dan juga mempunyai kediaman penanaman kelapa sawit seperti Melati, Kg Aur, Ladang Bukit Berembun dan sebagainya.

Ramai peneroka tanah di Keratong yang Cuma mengetahui bahawa nama kawasan mereka itu diambil daripada nama sungai, Sungai Keratong. Akan tetapi, bagi penduduk asal daerah itu seperti penduduk Kampung Meripoh dan Kampung Lubuk Batu, asal nama Keratong mempunyai cerita yang menarik.

Menurut penduduk asal itu, nama keratong timbul dari dua buah cerita berasingan. Kawasan sekitar Keratong dahulu adalah hutan belantara yang terpencil. Ketika itu penduduk kampung sering diancam oleh binatang buas.

Untuk menjamin keselamatan dan memudahkan perhubungan, mereka membuat perkampungan di tepi sebatang sungai yang ketika itu belum bernama. Ikan sungai itu dijadikan lauk. Pucuk paku dan rebung yang mudah didapati di tebingnya pula dijadikan sayur. Mereka hidup dengan bercucuk tanam dan berburu.

Untuk mendapatkan barang-barang keperluan yang lain seperti garam, gula dan pakaian, mereka berperahu menghilir Sungai Keratong dan kemudian Sungai Rompin hingga ke kualanya. Biasanya perjalanan mereka ke Kuala Rompin itu memakan masa seminggu. Di sana mereka menjual hasil hutan seperti damar dan rotan untuk mendapatkan wang.

Hasil tanaman di kampung mereka sangat memuaskan. Malangnya kebun mereka sering dimusnahkan oleh kera dan lotong. Mereka cuba untuk menghapuskan kera dan lotong itu tetapi tidak berhasil. Malah bilangan haiwan perosak itu bertambah besar. Mereka tidak pernah melihat kera dan lotong yang sebegitu banyak.

Kadang-kadang mereka terserempak dengan kera dan lotong yang datang ke rumah mereka untuk mencari makanan. Mereka juga sering melihat kera dan lotong bermain-main di dahan kayu dan gigi air di sepanjang sungai itu. Lantaran itu, mereka menyebut sungai tersebut sebagai Sungai Keralotong. Lama-kelamaan sebutan ‘Keralotong’ itu diringkaskan kepada ‘Keratong’ sahaja. Sebutan itu kekal hingga ke hari ini.

Cerita kedua juga berkaitan dengan kera. Setelah sekian lama orang kampung terpaksa berulang alik ke Kuala Rompin untuk mendapatkan barang keperluan mereka, akhirnya tibalah di situ seorang tauke Cina bernama Ah Tong. Dia datang ke situ sebulan sekali membeli hasil hutan dan menjual barang-barang keperluan.


Penduduk di situ menunggu kedatangan Ah Tong di tepi sungai. Mereka boleh menjualkan hasil hutan mereka ataupun menukarkannya dengan barang-barang keperluan seperti kain baju.

Biasanya apabila Ah Tong mudik, dia membawa seekor kera yang ditempatkan di hadapan perahunya. Ah Tong menambat keranya dengan rantai kerana kera itu garang. Dengan adanya kera itu, orang tidak berani mengambil barang dari perahu Ah Tong walaupun ketika dia tidak ada dalam perahunya.

Suatu ketika, semasa Ah Tong sedang menjaja barang-barangnya di dalam kampung, sekumpulan orang dewasa dan kanak-kanak telah menghampiri perahunya. Mereka tidak berniat untuk mencuri, tetapi sekadar untuk melihat barang-barang yang dibawa oleh Ah Tong. Apabila mereka sudah berada benar-benar dekat dengan perahu itu, kera yang garang itu tiba-tiba melompat dengan mulutnya ternganga luas seperti hendak menggigit.

Orang kampung tidak takut kerana mereka tahu kera itu sudah dirantaikan. Akan tetapi, oleh kerana terlalu ramai yang mengerumuninya, kera itu bertambah garang dan tidak henti-henti melompat dan menjerit. Tiba-tiba rantai penambat kera itu terputus. Apabila melihat kejadian itu orang ramai pun lari bertempiaran.

Sambil berlari mereka berteriak: “Jaga.. jaga..! Kera Ah Tong telepas! Jaga.. Kera Ah Tong terlepas!”

Apabila mendengar orang ramai menjerit dan bertempiaran lari, kera yang terlepas itu pun turut melarikan diri ke arah hutan dan hilang tanpa dapat dikesan. Sejak peristiwa itu, penduduk mengelarkan kawasan itu kawasan ‘Kera Ah Tong’. Akhirnya namanya bertukar menjadi Keratong.

P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...
HIKAYAT NAMA KERATONG HIKAYAT NAMA KERATONG Reviewed by ILOVEPAHANG on July 20, 2011 Rating: 5
Powered by Blogger.