HIKAYAT NAMA ROMPIN


Daerah Rompin terletak dibahagian selatan negeri Pahang, bersempadan dengan Johor. Kemunculan nama 'Rompin' dikaitkan dengan pelbagai cerita.

Cerita pertama ialah mengenai sebatang pokok. Pada masa dahulu banyak pokok ru atau cemara yang tumbuh disepanjang pantai daerah Rompin. Boleh dikatakan tidak ada pokok lain yang tumbuh disitu kecuali pokok ru dan pokok kemunting. Antara pokok ru yang banyak, ada sebatang yang sangat besar dan tinggi. Yang ganjil, batang pokok ru itu ramping dibahagian tengahnya. Namun, keadaan demikian tidak menjejaskan kekuatan pokok itu.

Hal ini menghairankan penduduk tempatan. Setiap orang yang melihat pokok itu pasti bercerita tentang keganjilan 'ru ramping'. Ada yang menganggap keganjilan itu satu petanda baik bagi tempat itu. Maksudnya, tempat itu amat sesuai dijadikan kawasan penempatan. Ramailah orang yang berbuat demikian.

Sejak dari itu tempat itu terus dikenali dengan nama 'Ru Ramping'. Disebabkan nama itu panjang, akhirnya penduduk tempatan memendekkannya kepada 'Rumping' sahaja. Seterusnya, pengaruh dialek tempatan menyebabkan perkataan 'Rumping' disebut 'Rumpin' tetapi dieja 'Rompin'. Ejaan itu kekal hingga sekarang.

Cerita kedua berkisar pada seorang lelaki misteri yang datang ke kawasan tapak bandar Kuala Rompin sekarang dan tinggal dibawah pokok ru. Lelaki tua itu tidak dikenali oleh penduduk tempatan dan tidak diketahui tempat asalnya. Pada mulanya dia datang kesitu untuk berdagang. Akan tetapi, lama-kelamaan dia mengambil keputusan untuk tinggal disitu. Dia mendirikan sebuah pondok kecil dibawah sebatang pokok ru yang besar.

Penduduk tempatan cuma memanggilnya Riffin. Walaupun beberapa kali ditanya, lelaki tua itu tidak mahu menceritakan tentang asal usulnya. Biarpun demikian, kehadirannya disitu telah diterima baik oleh penduduk tempatan.

Ada orang tempatan yang sering berkunjung ke rumah Riffin kerana dia dianggap seorang keramat. Jika mereka mempunyai masalah, mereka akan berjumpa dengan orang tua itu. Jika anak mereka sakit, mereka membawanya kepada orang tua itu untuk berubat. Lama-kelamaan orang tua itu dikenali ramai.

Penduduk tempatan menggelarkan kawasan pondok Riffin itu sebagai 'Ruffin'. Nama itu adalah singkatan kepada gabungan 'ru' dan 'Riffin'. Disebabkan pengaruh dialek tempatan, sebutan 'Ruffin' kemudian bertukar menjadi 'Rumpin' (dieja 'Rompin'). Nama Rumpin itu juga dikenakan pada sungai besar yang mengalir disitu.


Sekian hari sekian ramai orang yang berhijrah ke Rompin. Kebanyakkan mereka yang datang itu bekerja sebagai nelayan. Rompin berkembang menjadi sebuah perkampungan nelayan yang besar yang turut disinggahi oleh kapal-kapal kecil yang menyusur pantai berulang-alik diantara Singapura dan Kuantan.

Bandar yang kemudiannya terbangun di kuala sungai disitu diberi nama Kuala Rompin. Kuala Rompin dibuka oleh Datuk Pahlawan Ahmad, orang yang banyak berjasa kepada sultan, terutamanya dalam Perang Kelang.

Apabila negeri Pahang dibahagi-bahagikan kepada daerah, mukim dan kampung, kawasan Rompin diwartakan sebagai Mukim Rompin, Daerah Pekan. Panglima Kecil dilantik sebagai penghulu pertama Mukim Rompin.

Pada zaman darurat dahulu, kerajaan Pahang mendapati amat sukar untuk menghubungi kawasan-kawasan yang berjauhan dari pusat pentadbiran daerah kerana ketika itu rangkaian jalanraya disitu tidak memuaskan.

Oleh sebab itu kerajaan Pahang menubuhkan daerah kecil Rompin yang ditadbirkan oleh seorang pegawai yang menjalaskan tugas sebagai penolong pegawai daerah.

Daerah kecil Rompin terdiri daripada lima mukim iaitu Endau, Pontian, Pulau Tioman, Keratong dan Rompin. Pentadbiran berpusat di bandar Kuala Rompin. Encik JB Milanfort dilantik sebagai penolong pegawai daerah yang pertama daerah kecil Rompin pada tahun 1952.

Dalam tahun 1955 kerajaan Pahang telah menerima permohonan dan meluluskan lesen melombong bijih besi di Ulu Rompin kepada syarikat Eastern Mining and Minerals Company Limited (EMMCO). Pada mulanya EMMCO berpusat di Tanjung Tengku. Kemudian syarikat itu memajukan kawasan Lanjut sebagai tempat pengumpulan dan pelabuhan bijih besi yang telah dilombong di Bukit Ibam. Landasan keretapi sepanjang 60 kilometer telah dibina dari Bukit Ibam ke Lanjut untuk mengangkut bijih besi itu.

Dari masa EMMCO (yang kemudian digantikan dengan Rompin Company atau ROMPINCO) bertapak, bandar Kuala Rompin bertambah maju dan teratur. Walau bagaimanapun, kemajuannya itu tidak setanding dengan kemajuan bandar-bandar lain di Pahang.

Hal demikian besarnya disebabkan ketiadaan jalanraya yang menghubungkan Kuala Rompin dengan Pekan dan Endau di Johor. Kuala Rompin terpaksa mendapatkan barang-barang keperluannya melalui jalan laut. Pada musim tengkujuh, apabila laut bergelora, kuala Sungai Rompin terpaksa ditutup kepada perahu. Maka ketika itu, selain daripada berjalan kaki menyusur pantai, perhubungan diantara Kuala Rompin dan bandar-bandar lain terputus sama sekali. 

Dari pertengahan dekad 1950-an barulah terdapat jalan darat. Walau bagaimanapun, jalan itu memerlukan penggunaan kereta jenis pacuan empat roda, seperti Land Rover. Kadang-kadang perjalanan Land Rover juga tergendala disebabkan jalan dinaiki air. Ketika itu kenderaan yang hendak menyeberangi Sungai Rompin terpaksa menaiki feri yang berulang-alik diantara Tanjung Tengku dan Bandar Kuala Rompin.

Kesusahan perjalanan diantara bandar-bandar di utara dan di selatan dengan Kuala Rompin berakhir apabila jalanraya dari Pekan ke Endau siap dibina pada awal 1960-an. Feri yang digunakan untuk mengangkut kenderaan menyeberangi Sungai Rompin di Sabak digantikan dengan sebuah jambatan. Jambatan itu dirasmikan oleh Sultan Pahang pada bulan Julai 1975.

ROMPINCO menghentikan pekerjaan melombong bijih besi di Bukit Ibam pada tahun 1970. Sebelum itu, dalam tahun 1968, kerajaan telah melancarkan satu rancangan untuk memajukan kawasan disebelah selatan Sungai Pahang. Sejak dari itu bermulalah rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Pahang Tenggara yang dikendalikan  oleh sebuah agensi baru iaitu Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA). Rompin kian maju sejak DARA ditubuhkan.

Pada 30 November 1974 kerajaan Pahang telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji sempadan-sempadan daerah di Pahang. Jawatankuasa itu telah mengambil keputusan untuk menjadikan daerah kecil Rompin sebagai sebuah daerah penuh. Pada 31 Julai 1976, Rompin dengan rasminya menjadi daerah ke-9 Negeri Pahang Darul Makmur.

Wallahu'alam...

P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...

Source: SALASILAH NAMA TEMPAT NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR / MOHD.ROSELAN AB. MALEK / CETAKAN PERTAMA 1993
HIKAYAT NAMA ROMPIN HIKAYAT NAMA ROMPIN Reviewed by ILOVEPAHANG on July 28, 2011 Rating: 5
Powered by Blogger.