Jerantut merupakan daerah yang terbesar di Negeri Pahang. Ia bersempadan dengan Kelantan dan Terengganu di utara, temerloh dan Maran di selatan, Lipis dan Raub di barat serta Kuantan dan Terengganu di timur.
Sebahagian besar daripada daerah Jerantut terdiri daripada kawasan hutan yang meliputi kawasan Hutan Simpan dan Taman Negara. Ia mempunyai lokasi pelancongan utama iaitu Taman Negara, Felda Residence Tekam dan Gua Warisan Kota Gelanggi.
Selain itu, terdapat Makam Pahlawan Mat Kilau yang mempunyai sejarah tersendiri dan lokasi riadah serta rekreasi seperti Air Terjun Lata Meraung, Gunung Benom dan Gunung Tahan.
Jerantut bukan sahaja dikenali oleh penduduk negara ini, tetapi juga oleh pelancong asing. Ini adalah kerana Jerantut merupakan pintu masuk utama ke Taman Negara. Jerantut kini dikenali sebagai Bandar Taman Negara.
Orang tua-tua memperturunkan berbagai-bagai cerita tentang kemunculan nama Jerantut.
Cerita pertama berkisar pada seorang penduduk orang asli yang tinggal di kawasan tersebut pada masa dahulu. Pada waktu itu ada beberapa keluarga orang asli yang tinggal berhampiran dengan sebatang anak sungai.
Sungai tu amat jernih airnya dan banyak pula ikan di dalamnya. Tanah di situ subur dan mudah bagi mereka bercucuk tanam. Di samping menangkap ikan mereka juga memburu binatang.
Di sepanjang anak sungai itu terdapat jeram-jeram kecil yang deras airnya. Di kalangan anak-anak orang asli itu terdapat beberapa orang anak muda yang berani.
Biasanya merekalah yang mencari makanan atau menangkap ikan. Masing-masing ingin menunjukkan kebaktian kepada ibubapa mereka yang semakin uzur. Yang tua-tua hanya membuat kerja-kerja ringan.
Pada masa itu, ada sekumpulan anak muda yang diketuai oleh Tut. Tut sangat berani dan cekal. Dia tidak pernah mengaku kalah sebelum mencuba.
Setiap hari mereka pergi berburu. Biasanya mereka berburu di sepanjang sungai kerana di situ terdapat banyak binatang buruan seperti kancil, pelanduk dan rusa yang ingin minum air sungai.
Kawan-kawan Tut Cuma berjalan kaki ke tempat berburu. Akan tetapi Tut tidak suka berjalan. Dia lebih gemar menaiki perahu untuk keluar berburu. Kawan-kawannya tidak berani menaiki perahu kerana di sepanjang sungai itu terdapat banyak jeram yang deras airnya.
Mereka pernah mencuba menaiki perahu tetapi apabila sampai ke kawasan jeram mereka tidak berani meneruskan perjalanan kerana takut perahu mereka terbalik. Meraka berasa lebih selamat berjalan kaki. Lagipun, binatang buruan mereka juga boleh hilang jika perahu karam. Mereka tidak mahu pulang dengan tangan kosong.
Tut tidak berfikir begitu. Dia merasakan dirinya sudah cukup pakar dalam mengendalikan perahu walaupung di tempat berjeram. Dia yakin kepakarannya tidak mampu ditandingi oleh rakan-rakannya mahupun orang tua-tua di situ.
Biasanya Tut dapat pergi berburu lebih jauh daripada rakan-rakannya yang berjalan kaki. Dia juga dapat membawa pulang hasil buruan yang lebih banyak. Jika buruannya banyak, Tut tidaka akan keluar berburu lagi pada hari-hari berikutnya sehinggalah daging buruannya habis.
Pada hari-hari lain dia memancing atau menolong ibu bapanya bercucuk tanam. Begitulah kerja Tut dan kawan-kawannya setiap hari. Setelah hasil buruannya hampir habis mereka akan merancang untuk berburu lagi. Mereka akan berkumpul dengan mencadangkan tempat yang hendak dituju.
“Ke mana pula kita akan pergi kali ini. Daging salai di rumahku nampaknya sudah tinggal sedikit.” kata salah seorang anak muda.
“Bagaimana kalau kali ini kita pergi ke tempat yang lebih jauh. Tentu kita mendapat hasil yang lebih banyak dan kita tak perlu pergi berburu dalam tempoh yang lama.” kata Tut dengan penuh semangat.
“Kami ikut saja cadangan kau itu kerana kau ketua kami. Tapi kami tetap berjalan kaki.” jawab mereka. “Lebih selamat kalau tidak naik perahu kerana kita tidak perlu melalui jeram.” tambah kawannya lagi.
“Mengapa terlalu takut? Bukannya susah mengendalikan perahu di jeram. Yang penting, kita tahu mengawal diri kita.” sampuk Tut.
“Tapi kau harus sedar, tempat yang akan kita tujui itu lebih jauh dan banyak lagi jeram besar yang perlu ditempuh. Ini membahayakan kau.” tambah rakannya.
“Itu terpulang kepada kamu semua. Jika kamu berani kamu boleh ikut aku. Jika takut, boleh berjalan kaki.” kata Tut dengan bangga.
Pada pagi esoknya setelah bersiap sedia dengan bekalan masing-masing mereka pun berjalan ke sungai. Tut dan rakan-rakannya berharap pemburuannya kali ini sangat berhasil. Setelah beberapa lama berjalan mereka sampai ke tempat Tut menambat perahunya. Tut memuatkan peralatan yang perlu ke dalam perahunya. Rakan-rakannya sudah memutuskan untuk berjalan kaki menyusur sungai menuju ke hulu. Hanya Tut yang akan mendayung perahu memudiki sungai itu.
Apabila sampai ke tempat yang banyak binatang, Tut berhenti untuk mula berburu. Hasil buruannya dimuatkan ke dalam perahu dan kemudiannya dia berdayung lagi. Seperti yang diharapkan, hasil buruan Tut kali ini sangat banyak. Perahunya sarat membawa hasil tangkapannya. Sebaliknya, kawan-kawan Tut Cuma mendapat beberapa ekor binatang buruan.
Oleh sebab hari sedah petang, mereka pun bersetuju untuk pulang. Kawan-kawannya terpaksa mengandar binatang buruan mereka sementara Tut Cuma perlu meletakkan hasil buruannya ke dalam perahu. Mendayung perahu tidaklah sepenat mengandar binatang.
Tut hanya perlu mengawal perahunya sahaja. Apabila sampai di jeram dia lebih berhati-hati supaya tidak terlanggar batu. Setelah melalui beberapa jeram dia berasa lega kerana sekali lagi terbukti dia berjaya mengawal perahunya dengan baik.
Bagaimanapun di depannya ada sebuah lagi jeram yang besar dan deras airnya. Apabila sampai ke jeram itu dia gagal mengawal perahunya kerana muatannya sarat. Akibatnya perahu Tut telah terlanggar batu besar lalu pecah dan terbalik.
Tut cuba menyelamatkan diri. Oleh kerana air sungai itu terlalu deras dia gagal. Kepalanya terhantuk pada batu-batu tajam di situ. Tut mati di situ juga.
Apabila kawan-kawannya menjumpai mayat Tut mereka membawanya pulang. Berikutan peristiwa itu, rakan-rakannya memanggil tempat itu ‘Jeram Tut’ sempena nama Tut yang terbunuh di jeram berkenaan. Akhirnya nama Jeram Tut bertukar menjadi Jerantut dan nama itu kekal hingga ke hari ini.
Satu cerita lain, menyebut tentang seorang saudagar yang datang dari Sumatera. Saudagar itu dikatakan belayar bersama-sama dengan keluarganya memudiki Sungai Pahang, menuju ke Tembeling.
Tujuan pelayarannya itu ialah untuk berniaga kain. Setelah beberapa hari memudiki sungai Pahang dari Pekan, saudagar itu meninjau tempat untuk singgah dan berehat. Setelah meninjau beberapa tempat akhirnya dia menemui satu tempat yang sangat baik keadaannya. Di situ ada sebatang anak sungai yang jernih airnya. Kemudia dia mendapati anak sungai itu mempunyai beberapa jeram yang deras airnya.
Tanah di situ subur dan sesuai untuk bercucuk tanam. Akhirnya saudagar itu mengambil keputusan untuk menetap di situ. Mereka bercucuk tanam dan berburu. Rusa dan pelanduk banyak di situ.
Saudagar itu berburu dengan menggunakan tombak. Binatang buruan dihalau ke jeram. Isteri saudagar biasanya yang membantu menghalau binatang itu ke jeram. Saudagar itu sendiri bersembunyi di kawasan semak, menunggu kemunculan binatang-binatang yang dihalau oleh isterinya.
Binatang yang muncul dari hutan itu tergamam dan ketakutan apabila melihat jeram dan air yang deras. Pada waktu itulah saudagar itu mengambil kesempatan untuk melancarkan tombaknya. Dengan cara demikian saudagar itu tidak perlu keluar jauh ke dalam hutan untuk mencari lauk bagi keluarganya.
Sewaktu berburu, pasangan suami isteri itu akan berbalas-balas teriak. “Tut ke jeram, tut ke jeram.” jerit si suami. “Tut ke jeram.” balas si isteri.
‘Tut ke jeram’ bermaksud ‘halau ke jeram’. Daripada ungkapan itu maka lahirlah nama Jerantut yang kekal hingga ke hari ini.
Lama kelamaan pertkampungan saudagar itu didatangi oleh ramai orang. Ramai pula yang yang berkenan pada tempat itu lalu mengambil keputusan untuk berpindah ke situ. Perkampungan it uterus berkembang maju hingga menjadi sebuah bandar.
Sewaktu Inggeris memerintah, sebatang jalanraya dibina bagi menghubungkan Kuala Lipis dengan Kuantan. Jalan itu melalui pekan Jerantut. Perkhidmatan feri diadakan untuk menyeberangi Sungai Pahang. Kawasan di tebing sungai itu kemudiannya dikenali sebagai Jerantut Feri.
Beberapa tahun selepas itu, pihak Inggeris membina landasan keretapi sepanjang kira-kira sepuluh kilometer untuk menghubungkan Jerantut dengan landasan Kuala Lipis-Mentakab yang sedia ada. Oleh kerana landasan keretapi itu melintasi jalanraya Kuala Lipis-Kuantan, maka tempat itu dikenali sebagai Simpang Empat.
Simpang Empat memberi pilihan kepada orangramai samada menggunakan kenderaan jalan atau keretapi untuk pergi ke tempat lain. Dengan adanya kemudahan ini maka banyaklah rumah dan kedai baru yang didirikan di kawasan persimpangan itu.
Berikutan itu, Simpang Empat menjadi bandar besar yang sibuk. Bagaimanapun tempat itu masih sebahagian daripada Jerantut. Untuk membezakannya daripada Jerantut Feri, penduduk tempatan menggelarkan tempat itu sebagai Jerantut Atas.
Pembangunan tertunpu pada Jerantut Atas berbanding dengan Jerantut Feri. Hal ini disebabkan kedudukan Jerantut Atas berada di persimpangan jalan dan landasan keretapi itu nyata lebih baik dari segi perhubungan. Di samping itu, Jerantut Atas bebas daripada ancaman banjir yang sering melanda Jerantut Feri terutamanya pada musim tengkujuh.
Apabila perkhidmatan feri menyeberangi Sungai Pahang ditamatkan, Jerantut Feri semakin hari semakin dilupakan. Lama kelamaan bandar Jerantut sudah tidak perlu dibahagikan kepada Jerantut Feri dan Jerantut Atas.
P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...
HIKAYAT NAMA JERANTUT
Reviewed by ILOVEPAHANG
on
July 20, 2011
Rating: