Orang Melayu pada zaman dahulu amat mementingkan adat dan sopan santun semasa makan samada di rumah ataupun majlis-majlis keramaian. Ia bukan sahaja bertujuan untuk pengajaran, Tetapi juga untuk menjaga sopan santun orang Melayu. Sebagai contoh, seseorang itu dilarang tidur selepas makan. Maksud disebalik larangan tersebut, ialah untuk pendidikan dan kesihatan. Kalau tidur semasa perut kenyang, makanan yang dimakan belum dihadam. Ia akan melalaikan seseorang daripada melakukan perkerjaan yang lain dan juga sembahyang.
Berikut adalah beberapa pantang larang yang berkaitan dengan makan.
- Makan mencangkung payah dapat rezeki.
- Makan dalam belanga dapat anak rupa hodoh.
- Makan beras mentah dapat penyakit kuning.
- Makan telor tembelang dapat penyakit barah.
- Makan leher ayam nanti mengantuk semasa bersanding.
- Makan sisa anak nanti anak menjadi degil.
- Makan dalam pinggan sumbing dapat anak bibir sumbing.
- Makan tak basuh pinggan nanti lambat dapat menantu.
- Makan pisang kembar nanti dapat anak kembar.
- Makan pinggan bertindih nanti beristeri dua.
- Makan sambil berjalan akan dapat penyakit perut.
- Makan buah berangan songsang, nanti lambat dapat jodoh.
- Makan nasi di senduk nanti payah dapat rezeki.
- Tidur selepas makan nanti perut jadi buncit.
Selain pantang larang terdapat pula adat dan tatatertib yang berkaitan dengan makan. Antara adat dan tatatertib tersebut adalah seperti berikut :-
- Ketika berkunjung ke rumah orang, apabila tuan rumah menghidangkan makanan atau minuman, adalah dengan tidak menolaknya. Jika kenyang sekalipun, kita hendaklah menjamah sedikit makanan dan minuman yang dihidangkan.
- Setelah makanan dihidangkan, pastikan orang yang lebih tua dahulu duduk kemudian baru diikuti oleh orang muda pula mengambil tempat masing-masing.
- Anak gadis pula dikehendaki menyenduk nasi nasi kedalam pinggan orang yang lebih tua.
- Biarkan orang yang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian barulah diikuti oleh orang muda. Adalah tidak sopan membiarkan orang yang lebih tua makan sisa orang muda. Maka itu sesetengah orang membuat peraturan supaya orang muda makan berasingan daripada orang yang lebih tua atau orang tua makan terlebih dahulu daripada orang muda. Bagaimanapun, amalan ini tidak sesuai jika hendak menanamkan kemesraaan dan semangat kekeluargaan dikalangan anak-anak.
- Ketika makan seelok-eloknya ambillah makanan yang berhampiran dengan kita. Jangan menjangkau makanan yang sukar dicapai. Mintalah bantuan orang lain yang berdekatan jika kita hendak makanan itu.
- Ketika menghulur atau menyambut makanan, sebaik-baiknya gunakan tangan kanan, tetapi jika tangan kanan kotor, bolehlah kita menggunakan tangan kiri.
- Ketika menghulur atau menyambut makanan, seelok-eloknya siku atau pergelangan tangan ditampung sedikit dengan tangan yang sebelah lagi.
- Semasa mengambil kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor.
- Pastikan sudu, piring atau mangkuk tidak berlaga dan berbunyi ketika menyenduk. Ini dianggap kurang sopan dan kasar jika berlaku pergeseran antara sudu, piring atau mangkuk sehingga berbunyi.
- Ketika makan janganlah pula bercakap-cakap. Lebih-lebih lagi jika mulut penuh dengan makanan.
- Jika bercakap pun pastikan tidak menimbulkan perkara-perkara yang kurang menyenangkan sehingga boleh mengganggu selera makan orang lain.
- Jangan makan berbunyi, umpamanya menghirup minuman atau mengunyah makanan.
- Ketika orang lain sedang makan janganlah menghembus hingus, berkehak atau berludah.
- Jangan makan terlalu kenyang. Makanlah setakat mengenyangkan atau mengalas perut sahaja.
- Jika selesai makan terlebih dahulu, jangan sekali-kali mengangkat pinggan dan meninggalkan orang yang sedang makan. Seelok-eloknya tunggu dan pastikan semua orang sudah selesai makan barulah bangun.
- Jika mahu mengemaskan tempat makan atau meja makan, pastikan semua orang sudah selesai makan. Tidak sopan jika mengemas ketika orang lain masih menikmati hidangan. Jika dilakukan kita seolah-olah menyindirnya supaya berhenti makan atau melarangnya menghabiskan makanan.
- Jangan pergi kerumah orang pada waktu makan dan waktu maghrib. Ini mengganggu tuan rumah kerana mungkin dia telah memasak makanan cukup untuk keluarganya sahaja. Waktu maghrib pula adalah waktu sembahyang paling singkat dan kedatangan tetamu menyebabkan tuan rumah serba salah untuk meninggalkan tetamu keseorangan. Oleh itu, seelok-eloknya datanglah selepas waktu Solat Isyak.
Pantang larang ini diadakan bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bertujuan untuk menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang tidak sopan. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun mereka sejak zaman dahulu kala lagi. Maka itu diadakan pantang larang supaya ia dapat dikekalkan hingga ke generasi yang akan datang.
kudos to PakarHowTo
Pantang Larang Orang Melayu Tentang Makan
Reviewed by ILOVEPAHANG
on
July 26, 2011
Rating: