HIKAYAT NAMA KUALA SEMANTAN


Kuala Semantan ditebing Sungai Pahang banyak mencatatkan peristiwa sejarah dalam perjuangan bangsa Melayu menentang penjajah Inggeris di negeri Pahang. Orang Kaya Setia, Pahlawan Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah dan Mat Kelubi menjadikan Kuala Semantan sebagai benteng pertahanan mereka menentang penjajah.

Sejak satu abad yang lalu Kuala Semantan telah menjadi tempat pertemuan bagi penduduk yang tinggal ditebing Sungai Pahang dari Kuala Krau, Teluk Sentang, Kuala Kerdau, Bangau, Lubuk Terua hingga ke Chenor. Mereka menggunakan perahu kajang untuk membawa hasil pertanian atau apa sahaja hasil hutan yang hendak dijual kepada tauke di Kuala Semantan.

Pada masa dahulu ada seorang penduduk pinggir Sungai Pahang yang berasal dari Indonesia. Dia bernama Seman Tahan. Kerjanya seharian ialah membawa perahu kajang. Dia memiliki beberapa buah perahu kajang yang masing-masingnya diperbuat daripada kayu yang tahan. Atap kajangnya diperbuat daripada daun nipah yang dianyam buluh atau mengkuang.

Seman Tahan mengambil upah membawa penumpang ke Kuala Semantan. Selain itu dia mengangkut hasil hutan seperti rotan, getah dan damar dari kampung sekitar untuk dijual kepada tauke-tauke di Kuala Semantan.

Pada masa itu Kuala Semantan masih belum bernama. Oleh kerana orang ramai yang berperahu ke kampung itu sering menyebut nama Seman Tahan maka lama-kelamaan tempat itu diberi gelaran Kuala Seman Tahan. Gelaran itu agak panjang. Melalui masa, 'Seman Tahan' akhirnya bertukar menjadi 'Semantan'.

Kawasan Kuala Semantan pernah menjadi medan tempur antara orang Datuk Bahaman dan pihak Inggeris. Kejayaan pasukan Datuk Bahaman disitu telah membangkitkan semangat orang Melayu untuk menentang penjajah Inggeris sekitar tahun 1888.

Kini setiap hari Ahad, Kuala Semantan masih dikunjungi beberapa banyak penduduk tempatan kerana disitulah terletaknya Pekan Sehari Temerloh.

Ada juga versi yang menceritakan Semantan mendapat namanya tetapi ianya lebih kurang cerita diatas. 


Kuala Semantan pada asalnya merupakan sebuah kampung tua. Letaknya ialah di tanjung sebelah kanan kuala Sungai Semantan yang bertentangan dengan Kampung Bangau Parit. 


Mengikut ceritanya, nama 'Semantan' itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Perkataan 'Semantan' itu terbit dari perkataan 'Seman Tahan' . 'Seman Tahan' merupakan seorang Brunei yang menetap di tanjung sebelah kanan kuala, salah sebuah anak Sungai Pahang . 


Osman yang dikenali sebagai Seman ini merupakan seorang yang pandai bersilat dan banyak ilmunya. Disebabkan oleh kepandaiaannya, maka ramai orang yang tinggal di sekitar tempatnya datang berguru dengan Seman.

Disamping pandai bersilat, Seman juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu.


 Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu.Oleh kerana kemasyurannya ini, maka nama 'Seman Tahan' diabadikan kepada sungai yang terdapat disitu . 


Dari situlah nama sungai itu menjadi sungai Seman Tahan .Sungai Seman Tahan itu lama kelamaan menjadi sungai Semantan (mungkin untuk penyebutan yang mudah dan ringkas) dan kuala yang terdapat di Sungai Semantan masih kekal hingga ke hari ini . 


Oleh kerana ramai yang berpindah ke Kuala Semantan untuk berguru dengan Seman Tahan menyebabkan ia berkembang menjadi sebuah pekan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan yang terkenal semasa sebelum kedatangan British.

Bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku di Kuala Semantan , maka banyak kawasan-kawasan baru telah dibina untuk dijadikan kawasan penempatan. Nama Kuala Semantan dirasakan tidak bersesuaian dengan perkembangan kawasan baru ini kerana perkataan 'kuala' itu hanya meliputi kawasan sekitar pertemuan antara pintu Sungai Semantan dengan Sungai Pahang .


Oleh kerana itu nama Temerloh (rujuk HIKAYAT NAMA TEMERLOH) telah diambil bagi menamakan kawasan yang baru berkembang itu.


Wallahu'alam...

P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...
HIKAYAT NAMA KUALA SEMANTAN HIKAYAT NAMA KUALA SEMANTAN Reviewed by ILOVEPAHANG on July 28, 2011 Rating: 5
Powered by Blogger.