HIKAYAT NAMA TERUNTUM & BESERAH


Beserah adalah sebuah perkampungan nelayan yang terkenal. Kampung ini terletak kira-kira sepuluh kilometer dari bandar Kuantan.

Kira-kira seratus tahun dahulu, ada seorang ahli tasauf berketurunan Arab yang berkampung halaman di Daik, Indonesia. Orang itu bernama Syed Abdul Rahman Syed Abdul Samad. Suatu ketika beliau mengetuai sepasukan pejuang Islam menuju ke Pattani di selatan Siam. Syed Abdul Rahman pergi ke Pattani untuk membantu ayahnya menentang tentea Siam. Ketika itu ayahnya memimpin sepasukan pejuang pembebasan di sana.

Walaubagaimanapun, cita-cita Syed Abdul Rahman hendak membantu pejuang Islam di Pattani itu gagal. Pasukannya kekurangan anggota serta senjata. Lantaran itu, Syed Abdul Rahman diminta berpatah balik ke Daik. Seorang warisnya dari negeri Siam yang bernama Haji Senik Abdul Karim telah ditugaskan menghantar pasukan Syed Abdul Rahman pulang ke Daik.

Akan tetapi, apabila sampai ke Johor rombongan Haji Senik diarah berpatah balik ke Pattani kerana orang Johor sanggup menyambung tugas ulama itu pulang ke Daik.

Dalam perjalanan balik dari Johor, rombongan Haji Senik singgah dan berkampung di satu kewasan yang diberi nama Teruntum. Menurut cerita, nama Teruntum berasal daripada ‘teratai sekuntum’. (Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada bunga ‘teruntum’). Nama itu diberi kerana ketika rombongan Haji Senik sampai, terdapat sekuntum teratai yang mekar indah di situ. Teruntum adalah nama lama bandar Kuantan yang sekarang menjadi ibu negeri Pahang.


Kedatangan Haji Senik disusuli oleh adiknya Siti Fatimah tidak lama kemudian. Siti Fatimah dikenali penduduk setempat sebagai ‘Tun Fatimah dari Pattani’. Tun Fatimah meninggal dunia tidak lama selepas dia tiba di Teruntum. Dia dikebumikan di situ.

Haji Senik sangat sedih atas kematian adiknya itu. Dia membuat keputusan untuk mencari kawasan penempatan baru dan berpindah dari situ. Lagipun tanah di Teruntum gersang dan tidak sesuai untuk tujuan bercucuk tanam.

Haji Senik dan anak buahnya menyusur pantai mencari tempat baru. Setelah beberapa hari berjalan mereka sampai ke sebatang anak sungai. Mereka mendapati tanah di situ subur kerana terdapat banyak tumbuhan. Anak sungai itu jernih airnya. Ikan pun banyak di situ. Haji Senik mengambil keputusan untuk berkampung di situ. Mereka bergotong-royong membersihkan hutan.

Ketika mereka membersihkan kawasan tersebut, mereka mendapati banyak beruang berkeliaran di situ. Dengan itu, mereka menamakan sungai itu Sungai Beruang, dan perkampungan mereka sebagai Kampung Beruang. Tanah di Kampung Beruang itu sangat subur untuk bercucuk tanam. Masalahnya beruang juga gemar ke situ untuk mencari madu kelulut. Ketika mereka pergi ke kebun, mereka sering terserempak dengan beruang.

Akhirnya mereka mengadu hal itu kepada Haji Senik. Setelah mendengar aduan anak buahnya, Haji Senik meyakinkana mereka dengan berkata bahawa tempat itu adalah tempat yang paling sesuai untuk dibuat perkampungan. Tambah Haji Senik lagi, mereka hendaklah berkerjasama untuk membuat pagar agar beruang itu tidak dapat masuk ke kebun lagi.

“Kita berserah kepada Allah sahaja, agar segala yang kita buat itu berjaya.” tegasnya.

Haji Senik telah beberapa kali menyebut ‘berserah kepada Allah’ sebagai kata-kata perangsang untuk meyakinkan anak buahnya supaya cekal menghadapi masalah tersebut dan seterusnya tinggal di situ.

Bersempena dengan ungkapan ‘berserah kepada Allah’, akhirnya anak buahnya menamakan tempat itu Sungai beserah dan kampung itu, Kampung Beserah. Kian hari kampung itu kian terkenal, dan penduduknya juga semakin ramai.

Ancaman daripada beruang tidak berkekalan. Mereka hidup dengan aman dan damai serta bermuafakat dalam semua hal. Haji Senik mengajar agama dan mendirikan masjid yang pertama di Beserah.

Haji Senik dikatakan kerap berulang-alik ke istana Sultan di pekan dan beliau dilantik oleh Sultan sebagai penghulu Beserah yang pertama. Almarhum Sultan Ahmad diceritakan sangat sayang kepada Haji Senik kerana kebijaksanaannya menyelesaikan masalah masyarakat.

Beserah pada abad kedua puluh menjadi pusat perniagaan terkemuka dan menjadi tumpuan peniaga Cina dan India. Kini Beserah bukan sahaja dikenali sebagai kampung nelayan malah sudah banyak rumah dan kedai batu yang dibina, setara dengan perkembangan bandar-bandar lain di Pahang.

P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...
HIKAYAT NAMA TERUNTUM & BESERAH HIKAYAT NAMA TERUNTUM & BESERAH Reviewed by ILOVEPAHANG on July 19, 2011 Rating: 5
Powered by Blogger.