HIKAYAT BUDU


Budu memang tidak asing lagi bagi penduduk Pantai Timur, khususnya penduduk Kelantan dan Terengganu. Makanan pembuka selera itu diperbuat daripada ikan bilis yang diperam dalam tempoh tertentu. Di Pahang, budu bukan sahaja sejenis makanan tetapi juga nama sebuah kampung, kira-kira 34 kilometer dari Kuala Lipis.

Kampung Budu adalah antara kampung yang terawal diterokai didaerah Lipis. Rumah-rumah peneroka itu terletak pada jarak yang agak jauh diantara satu sama lain. Namun penduduknya saling kenal mengenali dan sentiasa bergotong royong melakukan kerja yang berat.

Tidak jauh dari kampung itu, dipinggir hutan tebal tinggal pula beberapa keluarga Orang Asli. Orang Asli itu hidup dengan bercucuk tanam dan mencari hasil hutan. Namun mereka tidak pernah bergaul mesra dengan penduduk kampung itu.

Dikalangan penduduk asli itu terdapat seorang anak muda yang bernama Budu. Budu sangat jahat. Dia sering mengganggu penduduk kampungnya terutama anak-anak gadis. Tingkah lakunya tidak seperti anak-anak muda yang lain yang suka masuk ke hutan mencari rotan atau berburu. Budu lebih suka bersendirian dan mengganggu penduduk kampungnya.

Apabila ada yang menghalangnya, dia akan naik berang. Dia tidak ragu-ragu untuk menggunakan kekerasan. Ada yang sudah mati dibunuhnya kerana cuba menghalang.

Tok Batin tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah perangai Budu yang jahat itu. Suatu hari Tok Batin dan anak buahnya membuat keputusan untuk tidak mengganggu Budu lagi. Apa sahaja yang dibuatnya tidak dihiraukan. Budu bebas melakukan apa sahaja yang disukainya.

Lama-kelamaan Budu naik bosan kerana perbuatannya tidak mendapat perhatian penduduk kampung. Lalu terlintas dihatinya untuk berpindah kampung. Budu mengunjungi kampung melayu yang berjiran dengan kampungnya. Disitu, Budu mendapati banyak gadis yang cantik. Budu gembira. Dia dapat mengganggu mereka ketika mereka membasuh pakaian di sungai.

Budu mengganggu mereka dengan melakukan perbuatan yang tidak senonoh. Sejak itu gadis-gadis kampung itu tidak berani lagi keluar dari rumah tanpa ditemani. Oleh kerana tidak tahan dengan perangainya itu, penduduk kampung bersepakat untuk mengadu hal itu kepada Panglima Ibrahim.

Panglima Ibrahim orang yang terkenal di kampung itu. Dia gagah perkasa dan mempunyai ilmu batin. Selain daripada itu dia baik hati dan suka menolong orang yang berada dalam kesusahan.

"Datuk Panglima, kami sudah tidak tahan lagi dengan tingkah laku Budu dari kampung Orang Asli itu. Jika dia dibiarkan, keselamatan anak gadis kami pasti terancam. Sudah beberapa kali dia cuba untuk melakukan perkara yang tidak senonoh kepada anak-anak kami." kata salah seorang penduduk kampung itu.

"Kami juga telah berjumpa dengan Tok Batin dan mengadukan hal ini, tetapi Tok Batin pun tidak dapat berbuat apa-apa lagi dengan Budu itu. Tok Batin telah menyerahkan hal ini kepada kita semua untuk diselesaikan." tambah mereka lagi.

Panglima Ibrahim mendengar rintihan mereka dengan penuh simpati. Sambil itu dia berfikir tentang cara untuk menyelesaikan masalah itu.


"Baiklah, kamu semua baliklah dulu." kata Panglima Ibrahim. " Nanti saya ikhtiarkan cara untuk menghapuskan Budu yang jahat itu."

Panglima Ibrahim tahu Budu handal orangnya. Dia tidak dapat dikalahkan dengan menggunakan kekerasan. Dia mesti dihapuskan dengan cara menggunakan tipu helah. Apakah tipu helah itu? Setelah beberapa lama berfikir baru Panglima Ibrahim mendapat ilham tentang cara untuk menumpaskan Budu itu.

Pagi esoknya Panglima Ibrahim ke sungai tempat Budu biasanya ditemui mengganggu anak gadis mencuci pakaian. Ketika itu Budu sedang duduk diatas tunggul kayu ditepi sungai itu. Panglima Ibrahim berjalan menghampiri Budu sambil menghisap rokok daun. Dia menegur Budu tetapi Budu tidak menghiraukannya.

Panglima Ibrahim menghembuskan asap rokok daunnya kearah muka Budu. Apabila terhidu bau asap rokok daun itu, Budu terliur. Panglima Ibrahim tahu Orang Asli memang gemar pada rokok daun.

Budu menoleh kearah Panglima Ibrahim. Panglima Ibrahim senyum dan menghulurkan daun rokok dan tembakau kepada Budu. Tanpa berlengah lagi Budu terus mengambil daun rokok dan tembakau itu dari tangan Panglima Ibrahim. Budu tidak mengesyaki apa-apa.

Panglima Ibrahim beredar dari situ, manakala Budu pula leka menggulung rokok daun itu diatas tunggul kayu. Kemudian Budu terus menikmati rokok daun itu.

Secara senyap-senyap Panglima Ibrahim telah berselindung disebalik sebatang pokok. Sambil melihat gelagat Budu dia mengeluarkan bertih yang dibawanya didalam uncang. Panglima Ibrahim mengambil segenggam bertih itu dengan tangan kanannya. Setelah menjampinya dia terus melemparkan bertih itu kearah Budu yang sedang asyik menghisap rokok.

Sebaik sahaja menghampiri Budu bertih itu bertukar menjadi sekawan tebuan. Tebuan itu terus menyerang dan menyengat Budu. Oleh sebab Budu tidak bersedia, dia tidak dapat melarikan diri. Gigitan tebuan yang banyak itu menyebabkan Budu meninggal dunia.

Setelah itu Tok Batin diberitahu bahawa Budu telah mati kerana disengat tebuan. Orang Asli cuma mengganggap kematian Budu itu satu kemalangan. Mereka langsung tidak menduga bahawa kematiannya itu berpunca daripada perbuatan Panglima Ibrahim. Dengan itu mereka tidak menyimpan perasaan dendam kepada penduduk kampung melayu itu.

Semenjak dari peristiwa itu sungai tempat Budu mati itu telah dinamakan Sungai Budu. Kampung berkenaan juga telah dinamakan Kampung Budu.

Selepas membunuh Budu, sekali lagi Panglima Ibrahim membantu orang kampung. Kali ini dia berjaya menawarkan semua keladi yang tumbuh di kampung itu supaya tidak gatal. Hingga kehari ini keladi yang tumbuh di Kampung Budu itu tidak gatal jika dimakan. Keladi dari Kampung Budu memang terkenal didaerah Lipis.

P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...

Source: SALASILAH NAMA TEMPAT NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR / MOHD.ROSELAN AB. MALEK / CETAKAN PERTAMA 1993
HIKAYAT BUDU HIKAYAT BUDU Reviewed by ILOVEPAHANG on September 08, 2011 Rating: 5
Powered by Blogger.