Gugusan Jengka merupakan gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. Dengan adanya tanah rancangan-tanah rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu seratus peratus iaitu Bandar Pusat Jengka.
Bandar Jengka adalah satu inspirasi bekas perdana menteri Malaysia yang kedua Tun Abdul Razak untuk mengujudkan satu bandar 100 peratus orang melayu.Tapi kini Bandar Jengka tidak lagi dimonopoli oleh orang melayu sahaja,kerana di kawasan Jengka 15 terdapat satu deret kedai telah ditembusi oleh peniaga bukan melayu.
Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar kelapa sawit dan getah. Terdapat 25 kawasan penempatan di Jengka yang dinamakan dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga.
Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenalpasti kawasan yang lebih awal dibuka. Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik),Jengka 2 (Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6 (Keembong), Jengka 7 (Kenanga), Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10 (Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12 (Melor),Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Bunga Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17(Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21 (Teratai), Jengka 22 (Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24 dan Jengka 25. Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25. Di dalam kawasan jengka juga terdapat Tanah Rancangan Felda yang tidak menggunakan nama Jengka, kerana ia di tubuhkan lebih dahulu dari Jengka itu sendiri. Antaranya Felda Kampong Awah (1963), Felda Ulu Jempol (1965) dan Felda Sungai Nerek (1967).
Ada juga di kalangan penduduk Jengka membuat jenaka dengan mengatakan terdapat Jengka 26. Jengka 26 yang dimaksudkan ialah Kampus UITM Cawangan Pahang yang berkeluasan 1000 ekar yang terletak di Bandar Pusat Jengka (Kini dikenali sebagai Bandar Jengka).
Secara umumnya nama Jengka diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua versi yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:
Versi Pertama - Diceritakan oleh orang-orang tua, bahawa terdapat sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak berhampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, setiap hari beliau akan keluar berburu di hutan. Setelah lewat senja barulah ia pulang ke pondok dengan membawa hasil buruan.
Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.
Versi Kedua - Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantaran itu, sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Kononnya dari sinilah Jengka mendapat nama.
P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...
HIKAYAT NAMA JENGKA
Reviewed by ILOVEPAHANG
on
May 20, 2011
Rating:
No comments:
Post a Comment