Pekan adalah bandar diraja negeri Pahang. Pekan juga pernah menjadi ibu negeri Pahang (1889-98).
Mengikut cerita orang tua-tua, Pekan mendapat namanya daripada sejenis bunga yang dipanggil bunga pekan. Pokok bunga pekan tumbuh di tebing sungai. Diceritakan bahawa sepanjang Sungai Pahang di daerah ini ditumbuhi oleh bunga pekan. Maka pemerintah pada masa itu memberikan nama kawasan itu sebagai Pekan bersempena dengan nama bunga tersebut.
Pendapat lain pula mengatakan Pekan mendapat namanya daripada pengertian umum perkataan pekan itu sendiri. Pekan bererti bandar kecil, pasar atau tempat orang berjual beli. Di tebing Sungai Pahang sering dijadikan penempatan masyarakat zaman dahulu. Maka segala urusan berjual beli dilakukan di situ. Maka tidak hairanlah sehingga ke hari ini kita masih lagi menggelarkan pasar berjual beli sebagai Pekan Sehari.
Banyak kesan sejarah yang terdapat di bandar ini. Pelancong yang ingin mengetahui sejarah negeri Pahang pasti tertarik pada Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan. Di muzium ini dipamerkan segala bentuk warisan kebudayaan negeri dari zaman prasejarah hingga ke zaman kemerdekaan. Antara bahan pamerannya ialah senjata lama, mata wang, alat prasejarah, tembikar, dan sebuah perahu kepunyaan Almarhum Sultan Abu Bakar yang digunakan sebagai kenderaan ketika baginda melawat kampung-kampung lama di sepanjang Sungai Pahang.
Penubuhan muzium ini telah diilhamkan oleh anak jati Pekan, Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Beliau dilahirkan di Pulau Keladi.
Bangunan Muzium Sultan Abu Bakar itu asalnya adalah Istana Kota Beram. Menurut sejarah, Istana Kota Beram mendapat namanya apabila gajah (beram) yang ditunggang oleh Sultan Abdul Jamil telah terlanggar tiang balairong istana baginda. Apabila Inggeris memerintah negeri Pahang, istana dua tingkat itu telah dijadikan kediaman rasmi residen Inggeris yang pertama, J.P. Rodger. Pada tahun 1929, istana tersebut telah digantikan dengan bangunan batu seperti yang dilihat pada hari ini. Pada tahun 1948, Almarhum Sultan Abu Bakar telah mengambil alih istana itu dan menjadikannya istana rasmi baginda bagi menggantikan Istana Sri Terentang.
P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh membuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...
HIKAYAT NAMA PEKAN
Reviewed by ILOVEPAHANG
on
May 10, 2011
Rating:
No comments:
Post a Comment