Searching...
Monday, May 2, 2011

KDYM TENGKU PUAN PAHANG



KEBAWAH DULI YANG TERAMAT MULIA TENGKU PUAN PAHANG TUNKU HAJJAH AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH BINTI AL-MARHUM SULTAN ISKANDAR AL-HAJ

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al- Haj, DK., DK(Johor)., SPMJ., telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor. Baginda merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail (Sultan Johor).

Pendidikan awal Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, dan meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah pada bulan Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri:-
  1. YM Tengku Amir Nasir 
  2. YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah 
  3. YM Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah 
  4. YM Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah 
  5. YM Tengku Afzan Aminah Hafizatullah 
  6. YM Tengku Puteri Jihan Atho'atullah 
Di antara kegiatan-kegiatan dan kegemaran Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit, bermain golf dan paling utama menjaga dan bermain-main dengan Paduka-paduka Anakanda serta berbakat dalam bidang penulisan. Sebuah buku masakan hasil daripada Baginda sendiri bertajuk "Air Tangan Tengku Puan Pahang" telah diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada Mac 2005 yang lalu. Sehingga kini penjualan buku tersebut masih lagi dijalankan dan hasilnya disalurkan terus ke TAFF.

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang merupakan penaung DiRaja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang dan Pengakap Puteri Sedunia serta merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang juga merupakan Pengerusi PERTAP, Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang(WI) serta Pengasas atau Presiden Seumur Hidup Yayasan Fertaliti Tunku Azizah(TAFF). Selain itu, Baginda juga merupakan Pemegang Amanah Yayasan Istana Abdulaziz(YIA) dan juga merupakan Penaung Diraja AP di Hong Kong.