KEBAWAH DULI YANG TERAMAT MULIA TENGKU MAHKOTA PAHANG TENGKU ABDULLAH AL-HAJ IBNI SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH
Tengku Mahkota Pahang telah diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal, Pekan. Baginda pernah mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan, Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan serta di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Sejak kecil lagi Baginda aktif dalam sukan seperti permainan hoki, bola sepak, sepak raga jaring. Atas minat dan kebolehan yang ditunjukkan, Baginda telah terpilih untuk mewakili sekolah, daerah dan negeri di dalam permainan bola sepak.
Pendidikan akademik Baginda juga tidak diabaikan. Seterusnya Baginda telah melanjutkan pelajaran di Aldenham School, Hertsfordshire (1975-1978) di United Kingdom, kemudian ke Devies' College, London (1978-1979). Seterusnya Baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, England (1979-1980). Baginda akhirnya ditauliahkan oleh Ratu British, Queen Elizabeth II sebagai Leftenan Muda dan Baginda dilantik sebagai Pegawai Kehormat dalam Kor Kavalry Angkatan Tentera Darat Malaysia dengan menyandang jawatan Kapten.
Sewaktu Sultan Haji Ahmad Shah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong, Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Negeri Pahang. Oleh kerana Baginda telah terdedah ke dunia pentadbiran, sering pula mengikut ayahanda Baginda menemui rakyat, tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ketika menjadi Pemangku Raja inilah Baginda menyertai kursus hal-ehwal luar negeri di Queen Elizabeth College, University Oxford, England dan kursus Tatacara Pentadbiran Tanah di Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur selama 2 minggu (Disember 1982).
Sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Baginda amat mengambil berat akan hal ehwal rakyat di Negeri Pahang Darul Makmur. Di dalam siri keberangkatan Baginda ke daerah-daerah, Baginda telah menggunakan helikopter untuk cepat sampai ke tempat-tempat yang dilawati dan seterusnya dapat meninjau dengan lebih dekat akan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat. Hasrat utama Baginda ialah untuk memastikan segala aspek pembangunan dapat disampaikan kepada rakyat ke tahap yang maksimum.
Selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Baginda juga tidak ketinggalan dalam menasihati rakyat supaya sentiasa mengimarahkan masjid dengan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan untuk faedah dunia dan akhirat. Baginda sentiasa menggalakkan supaya masjid yang telah dibina oleh Kerajaan digunakan dengan sepenuhnya oleh rakyat jelata.
Seperkara lagi yang juga sangat Baginda tekankan ialah supaya rakyat di negeri ini sentiasa hidup di dalam suasana harmoni dan bersatu padu.
Baginda menerajui Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang selaku Yang Dipertua di bawah kepimpinan Baginda serta naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, maka majlis telah berjaya bersama-sama dengan kerajaan negeri menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kebajikan umat Islam, serta mengembangkan syiar Islam di negeri ini. Kedua-duanya iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang sangat memberi perhatian terhadap kebajikan pentadbiran umat Islam di negeri ini.
Minat Baginda dalam bidang sukan tidak pernah surut. Ketika di England, Baginda mengetuai Pasukan Polo Diraja Pahang di dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club dan berjaya memenangi perlawanan tersebut. Seterusnya Baginda mengambil bahagian di dalam pertandingan di Singapura, Manila dan Brunei.
Di Pekan, Baginda menubuhkan pasukan bola sepaknya sendiri yang dinamakan Pasukan Sri Mahkota Alam. Bidang sukan lain seperti Go-Kart dan penerbangan Ultralight. Baginda terpilih menjadi Yang Dipertua bagi beberapa pertubuhan seperti Pasukan Equestarian Malaysia, Kelab Tenis Diraja Pahang, Kelab Golf Diraja Pahang, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mempengerusikan Liga Semi-Pro anjuran FAM.
Pada 1 Julai 1975, Baginda telah dilantik menjadi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan kemudiannya telah dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.
Pada usia Baginda baru sahaja menjangkau 20 tahun, Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 . Baginda yang telah dididik dan dilatih dengan ilmu pengetahuan dan kepimpinan, Baginda telah dapat menyempurnakan tanggungjawab yang berat dengan sempurna. Baginda menjadi Pemangku Raja Pahang untuk tempoh lima tahun iaitu selama tempoh ayahanda Baginda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-VII.
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sentiasa mendekatkan diri dengan rakyat jelata dengan mengadakan lawatan ke serata pelusuk negeri, bukan sahaja secara rasmi tetapi apabila rakyat jelata ditimpa musibah dan bencana alam.
KDYM TENGKU MAHKOTA PAHANG
Reviewed by ILOVEPAHANG
on
May 02, 2011
Rating:
1 comment:
i love pahang...
Post a Comment