Bandar Temerloh lahir daripada pekan Kuala Semantan. Dahulu, Kuala Semantan merupakan sebuah pekan yang penting di tebing Sungai Pahang. Kawasan pekan itu berkembang hingga lama-kelamaan pusat kegiatan penduduk di situ berpindah jauh dari kuala sungai. Kawasan baru yang menjadi tumpuan penduduk tempatan itu ialah Temerloh.
Menurut cerita, nama Temerloh dikatakan berasal daripada perkataan ‘mereloh’. Perkataan ‘mereloh’ adalah perkataan loghat tempatan yang bermaksud ‘tidur’. ‘Te’ pada pangkal nama Temerloh ialah asalnya ‘ter’ yang menunjukkan perbuatan tidak sengaja, yakni ‘tertidur’.
Perkataan ‘temerloh’ itu timbul berikutan satu peristiwa yang berlaku di situ. Pada masa dahulu ada seorang penghulu yang amat kaya dan mempunyai dusun durian yang luas di sekitar Kuala Semantan. Penghulu itu telah menggaji seorang penduduk tempatan untuk menjaga dusunnya itu apabila tiba musim durian. Orang upahan itu ditugaskan untuk berjaga pada malam hari agar tidak ada pencuri yang masuk ke dusun untuk mencuri buah durian. Pada paginya dia ditugaskan untuk mengutip dan mengumpulkan buah durian yang telah gugur untuk dijual.
Pada suatu hari, seperti seperti biasa penghulu itu pergi ke dusunnya untuk mengambil buah durian yang dikumpulkan untuk dijual. Akan tetapi, penghulu mendapati jumlah jumlah buah yang dikutip itu kecil berbanding dengan kutipan hari-hari sebelumnya. Penghulu itu pun bertanya kepada orang upahannya. “Mengapakah hasil yang dipungut kali ini berkurangan?”
Orang itu menerangkan, “Durian Orang Kaya telah dicuri orang malam tadi.”
“Mengapa jadi begitu?”
“Maafkan saya, Orang Kaya. Saya temereloh.”
Lalu penghulu itupun memecat lelaki tersebut dan menggantikan dengan orang lain. Namun perkara yang sama juga berlaku. Mereka sering menjawab “Temereloh” ketika menjaga dusun penghulu itu pada waktu malam. Sehinggalah beberapa orang telah bertukar ganti untuk menjaga dusun Penghulu tersebut dan perkara dan ayat yang sama akan berulang lagi.
Sejak itu, kawasan dusun penghulu tersebut dipanggil Temerloh. Temerloh semakin membangun dan menelan pekan Kuala Semantan. Kini bandar Temerloh merupakan bandar yang kedua terbesar di Pahang dan merupakan tempat persinggahan yang penting bagi pengguna lebuhraya dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur Semenanjung.
P/S: Sekiranya anda ingin menambah artikel ini dan ingin menyampaikan pandangan dan teguran, boleh berbuat demikian dengan memberi komen dibawah. Terima Kasih...
HIKAYAT NAMA TEMERLOH
Reviewed by ILOVEPAHANG
on
May 14, 2011
Rating:
1 comment:
baru tau..hahah..meski pun koi ni org temerloh..kehkehkeh :)
Post a Comment